BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 | Sultan Selangor harap LRT3 kurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, beri pilihan perjalanan lebih pantas | Sultan Selangor zahir ucapan terima kasih dan penghargaan kepada PM Anwar setuju teruskan projek LRT3 | 

Ringgit Ditutup Rendah Susulan Jangkaan Kenaikan Kadar Faedah Kukuhkan Dolar AS

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Rabu dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) terus menjejaskan sentimen pasaran serantau dan memberi sokongan terhadap dolar AS.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.0920/0965 berbanding dolar AS daripada paras  4.0825/0870 pada penutup semalam.

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata Asia secara amnya mencatat prestasi kurang memberangsangkan berbanding dolar AS ketika pelabur terus memberi tumpuan terhadap kemungkinan Fed melaksanakan dasar monetari lebih ketat.

“Malam semalam misalnya, laporan Tinjauan Penawaran Kerja dan Perolehan Tenaga Kerja AS menunjukkan bilangan tawaran kerja lebih tinggi berbanding unjuran awal pada Mei lepas.

“Pada malam ini, pasaran akan memberi tumpuan ke atas pengumuman laporan Perubahan Pekerjaan ADP bagi Jun 2026,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mohd Afzanizam berkata jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Fed juga terus memberi sokongan terhadap pengukuhan dolar AS walaupun berlakunya penurunan harga minyak mentah.

Sementara itu, pada akhir urus niaga hari ini, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut nilai berbanding pound Britain kepada 5.4203/4262 daripada 5.4036/4096 semalam, rendah berbanding euro kepada 4.6600/6651 daripada 4.6528/6580 namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5144/5174 daripada 2.5154/5183.

Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Berbanding baht Thailand, ringgit mengukuh kepada 12.2526/2708 daripada 12.2874/3084 semalam dan meningkat sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.64/6.65 daripada 6.65/6.67 sebelum ini.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1555/1589 daripada 3.1532/1570 semalam dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 227.9/228.3 berbanding 227.9/228.3 sebelumnya.

-- BERNAMA