BERITA TERKINI   MCMC kenal pasti lebih 10,000 akaun palsu sebar isu 3R setakat semalam -- Fahmi | UKK di setiap kementerian perlu perhalusi cara perjelas kesan sebenar dasar dan pencapaian kerajaan - Fahmi | Kerajaan sasar 50 peratus pengurangan kematian akibat nahas jalan raya menjelang 2030 - Ahmad Zahid | Perancangan penyuraian trafik diteliti elak kesesakan baharu operasi RTS Link Johor Bahru–Singapura - Ahmad Zahid | Inflasi Malaysia menurun kepada 1.8 peratus pada Julai 2026 daripada 1.9 peratus pada Jun 2026 - DOSM | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Susulan Kebimbangan Terhadap Kadar Faedah AS Semakin Reda

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS pada Khamis berikutan kebimbangan yang semakin reda terhadap prospek dasar monetari Amerika Syarikat (AS) telah merangsang sentimen pasaran susulan kenyataan pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS mengenai kadar faedah.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0900/0965 berbanding dolar AS daripada 4.0920/0965 ketika ditutup pada Rabu.

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan pasaran kini terarah kepada kenyataan pengerusi baharu Fed Kevin Warsh pada Forum European Central Bank (ECB), yang memberi isyarat bahawa bank pusat AS tidak terburu-buru untuk mengubah kadar faedah.

“Tumpuan pasaran jelas terarah kepada kenyataan Warsh pada Forum ECB malam tadi, yang memberi bayangan bahawa Fed tidak terburu-buru untuk menaikkan kadar faedah, walaupun beliau mengulangi komitmen bank pusat itu untuk mengembalikan kestabilan harga,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata data ekonomi AS yang lebih lemah berbanding jangkaan turut menyokong pengukuhan ringgit.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata Laporan Pekerjaan Kebangsaan ADP menunjukkan sektor swasta AS mewujudkan sebanyak 98,000 pekerjaan baharu pada Jun, lebih rendah berbanding jangkaan pasaran iaitu 118,000 pekerjaan.

“Laporan itu juga menunjukkan rakyat Amerika mengambil masa yang lebih lama untuk mendapatkan pekerjaan, walaupun terdapat isyarat kekangan bekalan tenaga kerja melibatkan beberapa industri,” katanya.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4303/4389 daripada 5.4203/4262 ketika ditutup pada Rabu dan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5160/5201 daripada 2.5144/5174 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.6532/6606 daripada 4.6600/6651 semalam.

Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Unit tempatan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.63/6.65 daripada 6.64/6.65 sebelumnya dan meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 227.8/228.3 daripada 227.9/228.3. 

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.2668/2944 daripada 12.2526/2708 semalam dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1564/1616 daripada 3.1555/1589.

-- BERNAMA