Bursa Malaysia Dibuka Tinggi
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini berikutan minat belian yang berterusan, didorong oleh keyakinan bahawa sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) mengalami kitaran pertumbuhan yang pesat, kata peniaga.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.67 mata kepada 1,661.50 daripada 1,656.83 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 1.99 mata kepada 1,658.82.
Sentimen pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 221 berbanding 133. Sebanyak 276 kaunter tidak berubah, 2,011 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 151.24 juta saham bernilai RM80.96 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, kenaikan kukuh harga saham YTL Power International Bhd yang disokong jumlah dagangan yang tinggi pada Rabu mengukuhkan lagi sentimen AI di pasaran domestik.
Sentimen itu turut disokong oleh pembangunan Green Data Centre Park milik YTL di Johor, YTL AI Labs dan projek ILMU Claw.
Menurut syarikat pembrokeran itu, pembukaan rasmi kilang Vertiv Holdings Co di Johor di samping inisiatif rantaian bekalan AI bernilai US$1.2 trilion oleh Korea Selatan, dijangka menjadi pemangkin tambahan kepada keseluruhan ekosistem teknologi.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Indeks FBM KLCI dijangka bergerak dalam lingkungan 1,650 hingga 1,665 mata hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat enam sen kepada RM10.72, Public Bank, Tenaga Nasional dan IHH masing-masing menambah dua sen kepada RM4.77, RM14.22 dan RM8.32 manakala CIMB menokok empat sen kepada RM7.46.
Antara kaunter paling aktif, Velocity meningkat 1.5 sen kepada 7.5 sen, Liftech dan Capital A masing-masing naik setengah sen kepada 24.5 sen dan 41 sen manakala GIIB dan Tanco tidak berubah pada 51 sen dan 17.5 sen.
Bagi kaunter paling untung, Nestle meningkat 74 sen kepada RM92.50, Critical Holdings naik 22 sen kepada RM1.63, Hong Leong Bank menokok 14 sen kepada RM21.42, United Plantations melonjak 10 sen kepada RM33.08 dan Eco-Shop menambah tujuh sen kepada RM1.43.
Antara kaunter paling rugi menyaksikan Malaysian Pacific Industries susut 90 sen kepada RM48.10, F&N menyusut 42 sen kepada RM27.52, Kelington rendah 20 sen kepada RM8.05 manakala Pentamaster dan UWC masing-masing rendah14 sen kepada RM4.80 dan RM6.42.
Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas meningkat 16.30 mata kepada 12,365.42 manakala Indeks FBM Top 100 menambah 17.10 mata kepada 12,192.52 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 1.13 mata kepada 12,241.85.
Indeks FBM Mid 70 rendah 47.86 mata kepada 17,868.50 manakala Indeks FBM ACE susut 9.20 mata kepada 4,859.54.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 81.21 mata kepada 19,566.98, Indeks Tenaga rendah 2.37 mata kepada 754.18, Indeks Perladangan menambah 1.52 mata kepada 8,844.56 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.05 mata kepada 180.44.
-- BERNAMA