GB Bond Jangka Kilang Baharu Tingkatkan Pengeluaran Pelekat Sebanyak 35 Peratus
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- GB Bond Holdings Bhd, pengeluar pelekat dan bahan pengedap industri berasaskan air, menjangkakan kilang baharunya di Pulau Pinang boleh meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk rangkaian pelekatnya sebanyak 30 hingga 35 peratus.
Naib Presiden Kanan Kewangan Korporat Malacca Securities Sdn Bhd Darren Koh Chong Wooi berkata kemudahan pengeluaran pelekat syarikat itu kini beroperasi pada kapasiti melebihi 70 peratus.
“Dengan pengembangan operasi kami ke Vietnam, kami menjangkakan peluang perniagaan baharu daripada pasaran negara itu akan berkembang secara beransur-ansur.
“Kami juga menjangkakan permintaan akan mengukuh dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, yang seterusnya membolehkan kadar penggunaan kapasiti yang lebih tinggi hasil daripada pengembangan berkenaan," katanya pada sidang media di majlis penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.
GB Bond membuat kemunculan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada harga 25.5 sen, iaitu premium 0.5 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 25 sen, dengan 19.74 juta saham diniagakan.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan ia berjaya meraih RM16.08 juta menerusi terbitan awamnya.
Daripada hasil itu, RM5.50 juta akan diperuntukkan untuk menyewa kilang baharu berkeluasan kira-kira 40,000 kaki persegi berhampiran ibu pejabatnya di Bukit Panchor, Pulau Pinang, selain pembelian mesin pengeluaran baharu.
“Selain pengembangan kilang, sebanyak RM0.90 juta diperuntukkan untuk peralatan formulasi produk.
"Pelaburan ini akan memperkukuh keupayaan ujian dan analisis kumpulan, seterusnya menyokong pembangunan dan penambahbaikan bahan pelekat tersuai yang direka khas untuk aplikasi industri tertentu," tambah kenyataan itu.
Menurut GB Bond, RM3.50 juta akan digunakan untuk menubuhkan dan menyokong operasi pejabat jualan tempatan di Vietnam dalam tempoh enam bulan selepas penyenaraiannya.
Malacca Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO itu.
-- BERNAMA