BERITA TERKINI   Pengguna yang masih dikenakan fi RM1 di ATM diminta lapor ke Bank Negara untuk tindakan susulan - Fahmi | Pembukaan Pusat Pembangunan Global syarikat fintech di TRX bukti kestabilan politik dan dasar negara terus tarik pelaburan asing - Fahmi | Jawatankuasa kerja dan kumpulan teknikal tangani jenayah penipuan dalam talian telah ditubuhkan pada 18 Jun - Fahmi | Malaysia rancang guna semula tapak loji janakuasa arang batu yang akan ditamatkan operasi kepada hab tenaga boleh baharu - TPM Fadillah | Kegagalan untuk campur tangan, terutama negara-negara yang berupaya mempengaruhi rejim Zionis, hanya memberi ruang kepada rejim itu untuk memperluaskan peperangannya di rantau itu - PM Anwar | 

Lebih RM500 Juta Pembiayaan Mikro Diluluskan, Manfaatkan 30,000 Usahawan Bagi Tempoh 15 Mei-26 Jun - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Kerajaan telah meluluskan pembiayaan mikro bernilai lebih RM500 juta yang memanfaatkan lebih 30,000 usahawan bagi tempoh 15 Mei hingga 26 Jun 2026, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata jumlah itu adalah daripada peruntukan lebih RM5 bilion di bawah Program Kemudahan Pembiayaan Mikro untuk membantu perusahaan mikro meneruskan perniagaan walaupun berdepan kenaikan kos.

Katanya inisiatif itu disediakan menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat, MARA dan TEKUN Nasional.

Ad Banner

“Kerajaan turut meluncurkan Skim Jaminan Bantuan Kerajaan MADANI bernilai RM5 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) untuk memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat akses pembiayaan. 

“Bagi tempoh 15 Mei hingga 30 Jun 2026, SJPP meluluskan jaminan pembiayaan RM219 juta yang memanfaatkan lebih 300 PMKS, khususnya sektor agro, pembinaan, logistik dan pelancongan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai langkah segera dan konkrit yang diambil kerajaan untuk memastikan peniaga kecil, penjaja dan PMKS tidak terbeban dan terpaksa gulung tikar akibat tekanan ekonomi global.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Amir Hamzah berkata SJPP turut bekerjasama dengan pihak bank bagi memudah cara penstrukturan, penjadualan semula pembiayaan dan menyediakan bantuan bayaran balik bersasar untuk membantu PMKS mendepani saat mencabar ini.

Bagi membantu PMKS yang terkesan, katanya Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan dana pembiayaan RM5 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF).

Beliau berkata sejak dilancarkan dari pertengahan Mei 2026, hampir RM1 bilion diluluskan kepada lebih 1,500 PMKS.

“Dengan baki dana kira-kira RM4 bilion yang masih tersedia, ruang pembiayaan bagi permohonan seterusnya adalah mencukupi,” katanya.  

-- BERNAMA