Apam Balik Jalan Mawai Terus Jadi Buruan Pelanggan Dari Segenap Daerah
KOTA TINGGI, 1 Okt (Bernama) -- Berkat mempertahankan resipi keluarga sejak 19 tahun lepas, apam balik Jalan Mawai di sini terus menjadi buruan pelanggan dari serata daerah, malah perisa asli masih menjadi pilihan utama pelanggan kerana kesegaran bahan yang digunakan.
Isteri pemilik premis, Nelta Efrida Zulfadhli, 37, berkata semua bahan disediakan sendiri di premis setiap hari, bermula dengan bancuhan tepung, selain inti jagung yang ‘segar’ iaitu bukannya menggunakan bahan dalam tin.
Katanya, apam balik perisa asli itu dijual pada harga RM4, meskipun kos bahan mentah semakin meningkat.
“Kita pernah naikkan harga, tetapi kadarnya adalah bersesuaian kerana masih fikirkan pelanggan.
“Lagipun kuantiti yang kita jual banyak, jadi margin keuntungan masih ada dan kita belum merancang untuk naikkan harga lagi,” katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata suaminya, Mohd Shahrizal Supri, 41, meneruskan perniagaan itu menggunakan modalnya sendiri, dan beliau mula membantu selepas mereka bertunang pada 2009.
“Pelanggan bukan sahaja dari kawasan sekitar, malah ada yang datang dari Skudai, Kulai, Simpang Renggam dan Mersing semata-mata untuk membeli apam balik ini,” katanya yang mempunyai tiga pekerja tetap dan dua pekerja sambilan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perniagaan itu bermula dengan hanya lima kilogram tepung sehari pada 2007, dan terus berkembang hingga mencecah 50 hingga 55 kilogram tepung sehari ketika musim cuti.
Nelta Efrida berkata peningkatan permintaan itu turut menyumbang kepada hasil jualan sekitar RM2,000 hingga RM2,500 sehari pada hari biasa dan kira-kira RM4,500 pada hari cuti.
Katanya, jualan tertinggi pernah direkodkan mencecah RM6,000 sehari ketika produk mereka tular dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Beliau menambah, apam balik perisa asli kekal sebagai pilihan paling laris, diikuti oleh Nutella dan apam Jepun berinti kacang merah.
Yang turut ditawarkan kepada pelanggan ialah beberapa perisa lain termasuk pistachio, matcha, mentega kacang dan lotus biscoff.
Katanya, pihaknya juga pernah menyediakan apam balik itu sebagai hidangan pada majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat Mersing dan Kota Tinggi, selain jamuan Hari Raya di Johor Bahru.
Mengulas lanjut, beliau mendedahkan bahawa kekurangan pekerja antara cabaran utama yang dihadapinya, terutamanya bagi memenuhi permintaan tempahan pelbagai majlis seperti perkahwinan.
“Ramai yang menghubungi untuk membuat tempahan, tetapi seorang pekerja tidak cukup untuk mengendalikan sesebuah majlis, jadi jika kita menerima tempahan sesebuah majlis, kita terpaksa mengambil (pekerja) dari cawangan satu lagi.
“Kesannya cawangan di sana pula terpaksa tutup,” katanya yang mempunyai sebuah lagi cawangan di bandar Kota Tinggi.
Oleh itu, Nelta Efrida berkata buat masa ini tumpuan adalah meluaskan pasaran termasuk mengadakan promosi di media sosial seperti TikTok, berbanding membuka lebih banyak cawangan, bagi memastikan kualiti produk kekal sama.
“Lebih baik fokus pada satu lokasi tetapi sasarkan lebih ramai orang mengetahui mengenai kedai ini dan produk-produk kita,” katanya yang berhasrat menambah bilangan pekerja dan mengambil tempahan bagi majlis perkahwinan bermula tahun depan.
Dalam pada itu, operasi kedai itu biasanya bermula sekitar 9.30 pagi dengan pesanan terakhir diambil pada 4 petang, namun premis berkenaan pernah ditutup seawal 2 petang apabila apam balik telah habis dijual.
-- BERNAMA