Kerja-kerja Infrastruktur Di Taman Teknologi Pulau Pinang @ Bertam Siap Sepenuhnya
KEPALA BATAS, 2 Julai (Bernama) -- Ideal Property Group berjaya menyiapkan semua kerja-kerja infrastruktur di Taman Teknologi Pulau Pinang @ Bertam seluas 880 ekar (323.7 hektar), dengan pembangunan tersebut mencapai proses penyerahan penuh selepas mercu tanda pintu masuknya siap dibina.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata taman teknologi itu kini bersedia untuk dibangunkan, sekali gus membolehkan pelabur membeli tanah dan memulakan proses pembinaan serta operasi.
“Lebih 60 peratus daripada tanah perindustrian sudah diambil alih. Projek ini dijangka menyediakan peluang pekerjaan dan menyokong pertumbuhan rantaian bekalan serantau apabila ia memulakan operasi,” katanya.
Terletak di Seberang Perai Utara, taman itu dihubungkan dengan Lebuhraya Utara Selatan dan mempunyai akses terus ke Pelabuhan Pulau Pinang dan Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), sekali gus menyokong kecekapan logistik dan integrasi rantaian bekalan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ideal Property Datuk Goh Teng Whoo berkata Pulau Pinang telah berkembang sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi yang disokong oleh rantaian bekalan semikonduktor yang matang, kumpulan bakat berkemahiran dan ekosistem perindustrian yang mantap, menjadikannya destinasi menarik bagi pelaburan multinasional.
“Pelabur boleh mendapatkan tanah perindustrian pegangan bebas di Taman Perindustrian Pulau Pinang @ Bertam, yang dilengkapi dengan perkhidmatan sokongan sehenti termasuk nasihat plot dan penyelarasan kawal selia,” katanya.
Selain itu, Goh berkata taman itu turut dilengkapi dengan lebuhraya berkembar empat lorong, jalan dalaman selebar 100 kaki, bekalan air, infrastruktur bekalan kuasa, kesalinghubungan 5G, saluran paip gas asli dan pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam.
Beliau berkata ekosistem pembiayaan dan pasaran modal terus menyokong pengembangan korporat, dan menghargai sokongan yang diberikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dalam memberi kelulusan yang pantas, penyediaan infrastruktur dan promosi pelaburan.
Menurut Goh, Taman Teknologi Pulau Pinang @ Bertam bertujuan menyediakan ekosistem perindustrian lengkap, yang membolehkan perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana berintegrasi ke dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
Pembangunannya merangkumi lot perindustrian ringan dan sederhana, komponen komersial dan kemudahan bina untuk pajakan.
-- BERNAMA