Bursa Malaysia Teruskan Kenaikan Untuk Ditutup Tinggi
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan kenaikan untuk ditutup tinggi hari ini, disokong oleh kekuatan dalam saham telekomunikasi dan peningkatan semula di kaunter perbankan wajaran tinggi yang mengekalkan indeks penanda aras dalam lingkungan positif walaupun sentimen pasaran secara keseluruhan dalam mod berhati-hati.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pelabur kekal terkawal ketika peserta pasaran menunggu data pasaran buruh utama Amerika Syarikat (AS) untuk petunjuk baharu mengenai hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS dan terus memantau perkembangan di Asia Barat untuk potensi risiko geopolitik.
Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.0 mata atau 0.30 peratus kepada 1,661.83 daripada 1,656.83 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks itu dibuka tinggi 1.99 mata kepada 1,658.82 dan seterusnya bergerak antara 1,657.77 dan 1,666.26 pada sesi itu.
Sentimen pasaran bagaimanapun negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 639 berbanding 426, manakala 507 kaunter tidak berubah, 1,069 tidak diniagakan dan 15 digantung dagangan.
Jumlah dagangan melonjak kepada 2.70 bilion unit bernilai RM2.00 bilion berbanding 2.51 bilion unit bernilai RM2.26 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata aktiviti membeli saham ketika harga murah dalam saham mewah terpilih membantu meningkatkan indeks penanda aras daripada paras terlebih jual.
“Walaupun aliran keluar dana asing kekal sebagai cabaran, penilaian yang menarik mula menarik minat belian terpilih.
“Dalam jangka masa terdekat, sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati apabila pelabur memantau perkembangan dalam sektor teknologi, peristiwa geopolitik dan dasar monetari global,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Thong berkata penurunan baru-baru ini telah meningkatkan profil risiko dan ganjaran pasaran, diunjurkan membantu mengurangkan risiko penurunan.
“Kami menjangkakan FBM KLCI kekal dalam julat antara 1,650 dan 1,670 menjelang hujung minggu,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik lapan sen kepada RM10.74, Public Bank meningkat sembilan sen kepada RM4.84, Tenaga Nasional menambah enam sen kepada RM14.26, CIMB menokok tiga sen kepada RM7.45, manakala IHH merosot 13 sen kepada RM8.17.
Bagi saham aktif, Zetrix AI melonjak 1.5 sen kepada 78 sen, Pentech naik satu sen kepada 30.5 sen, manakala Tanco tidak berubah pada 17.5 sen, Dagang NeXchange susut satu sen kepada 44 sen, dan Silver Ridge menguncup setengah sen kepada 17 sen.
Antara kaunter paling untung, United Plantations naik 50 sen kepada RM33.48, Nestle meningkat 24 sen kepada RM92.00, Telekom Malaysia menokok 14 sen kepada RM7.47, F&N melonjak 16 sen kepada RM28.10, dan PPB menambah 17 sen kepada RM9.33.
Kaunter paling rugi, Malaysian Pacific Industries turun 94 sen kepada RM48.06, Vitrox susut 17 sen kepada RM7.72, Chin Teck merosot 14 sen kepada RM10.92, Malayan Cement berkurangan 15 sen kepada RM6.18, dan Pentamaster menguncup 12 sen kepada RM4.82.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 1.55 mata kepada 12,350.67, Indeks FBM Top 100 meningkat 4.21 mata kepada 12,179.63, Indeks FBM Emas Shariah susut 35.67 mata kepada 12,205.05, Indeks FBM Mid 70 berkurangan 131.68 mata kepada 17,784.69, dan Indeks FBM ACE menguncup 15.29 mata kepada 4,853.45.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 140.46 mata kepada 19,626.23, Indeks Perladangan naik 45.36 mata kepada 8,888.40, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.94 mata kepada 179.45 dan Indeks Tenaga berkurangan 6.89 mata kepada 749.66.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.17 bilion unit bernilai RM1.70 bilion berbanding 1.37 bilion unit bernilai RM2.00 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.05 nilion unit bernilai RM130.35 juta berbanding 643.76 juta unit bernilai RM70.74 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 463.33 juta unit bernilai RM164.33 juta berbanding 496.33 juta unit bernilai RM185.67 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 190.42 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (204.39 juta), pembinaan (88.84 juta), teknologi (260.50 juta), perkhidmatan kewangan (41.88 juta), hartanah (158.47 juta), perladangan (12.06 juta), amanah pelaburan hartanah (12.22 juta), dana tertutup (22,500), tenaga (66.16 juta), penjagaan kesihatan (59.12 juta), telekomunikasi dan media (25.88 juta), pengangkutan dan logistik (28.01 juta), utiliti (31.52 juta) serta amanah perniagaan (124,400).
-- BERNAMA