BERITA TERKINI   Kerajaan cadang bangunkan tanah agensi kerajaan yang tidak digunakan sebagai rumah mampu milik penjawat awam - PM Anwar | PM Anwar teruskan komitmen sediakan rumah mampu milik untuk penjawat awam | PM jamin penyelesaian isu tapak rumah generasi kedua FELDA dipercepat menerusi kerjasama kerajaan negeri | Kerajaan komited selesai isu perumahan generasi kedua FELDA, terus perkukuh rumah mampu milik - PM Anwar | 

Tomei Gesa Pengecualian Duti Import Jongkong Emas Tempa

Oleh Niam Seet Wei

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Tomei Consolidated Bhd berharap kerajaan dapat mengecualikan jongkong emas tempa import daripada duti import 10 peratus bagi memastikan pelaburan emas kekal mampu dimiliki rakyat.

Pengarah Urusannya Datuk Ng Yih Pyng, berkata ketika ini jongkong emas tempa import atau minted gold bars yang diklasifikasikan di bawah kod Sistem Harmonisasi (HS) 7115.90.1000 dikenakan duti import sebanyak 10 peratus.

Ad Banner

Sebaliknya, jongkong emas tuang import di bawah kod HS 7108.12.1000 dikecualikan daripada duti berkenaan.

Ng, yang juga penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Tukang Emas dan Barang Kemas Malaysia (FGJAM), berkata jongkong emas tuang lazimnya bersaiz besar, diukur dalam kilogram dan digunakan bagi tujuan pembuatan, manakala jongkong emas tempa pula bermula seberat 0.1 gram seunit dan kebanyakannya dibeli individu untuk tujuan pelaburan.

“Golongan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk isi rumah berpendapatan rendah (B40), membeli emas sebagai pelaburan atau simpanan, dan amalan ini telah berlangsung sejak 50 hingga 60 tahun lalu di Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kami melihat pelanggan membeli emas secara berperingkat setiap bulan, sama ada satu gram, dua gram atau lima gram. Justeru, kami berharap Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan pengecualian bagi kategori produk ini kerana ia lebih sesuai untuk mereka yang tidak mampu membeli jongkong emas bersaiz besar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

Emas pada paras US$4,000 seaun dianggap nilai wajar

 

Mengenai prospek harga emas, Ng optimis logam berharga itu berpotensi kembali mencecah paras US$5,500 seaun (US$1=RM4.07) dalam jangka panjang meskipun ketika ini berada dalam fasa penyatuan harga.

“Prospek emas masih positif, namun tiada siapa dapat menentukan tempoh untuk kembali ke paras tersebut. Dalam jangka panjang, saya yakin harganya akan terus meningkat,” katanya.

Harga emas pernah mencapai paras tertinggi sepanjang masa iaitu US$5,589.38 seaun pada 28 Jan 2026, disokong permintaan aset selamat susulan ketegangan geopolitik serta pembelian berterusan oleh bank pusat.

Bagaimanapun, harga itu susut ke sekitar US$4,000 seaun setakat 2 Julai 2026 berikutan kenaikan harga minyak mentah selepas penutupan Selat Hormuz yang mencetuskan kebimbangan inflasi, sekali gus meningkatkan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

Ng menyifatkan paras US$4,000 seaun sebagai nilai yang wajar bagi emas, namun mengakui pergerakan harga sukar diramal.

 

Minat pelabur muda terhadap emas digital semakin meningkat

 

Menyentuh corak pembelian emas, Ng berkata golongan muda di Malaysia kini semakin cenderung melabur dalam emas melalui platform digital.

Beliau berkata platform dagangan emas digital Tomei, GoldNow, yang dilancarkan pada Februari lalu, telah menarik kira-kira 8,000 pengguna berdaftar.

Walaupun nilai pelaburan masih kecil, sambutan itu mencerminkan peningkatan minat golongan muda celik teknologi terhadap pelaburan emas digital.

Bagi emas fizikal pula, beliau berkata barang kemas yang ringan, mampu milik dan mengikut trend semasa terus menjadi pilihan, khususnya dalam kalangan pengguna muda.

Menurutnya, jualan dalam talian kekal menggalakkan, namun masih menyumbang sebahagian kecil daripada keseluruhan jualan berbanding 63 cawangan runcit kumpulan itu di seluruh negara.

 

Piala Dunia FIFA jejas jualan Jun

 

Mengulas prestasi jualan, Ng berkata Tomei mencatat prestasi positif pada separuh pertama tahun ini, dipacu jualan kukuh pada suku pertama sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, jualan menjadi sederhana pada suku kedua, khususnya menjelang penghujung Jun, sebahagiannya dipengaruhi musim Piala Dunia FIFA.

“Setiap kali Piala Dunia berlangsung, iaitu setiap empat tahun, jualan pada bulan tersebut memang agak perlahan,” katanya sambil menjangkakan aktiviti jualan kembali rancak selepas pertengahan Julai apabila pengguna menyambung semula pembelian tertangguh.

Mengenai prospek syarikat, beliau berkata Tomei kekal berhati-hati terhadap separuh kedua 2026 berikutan ketegangan geopolitik, kenaikan harga minyak mentah serta perkembangan politik domestik yang menjejaskan sentimen pengguna, namun menyasarkan sekurang-kurangnya mengekalkan prestasi jualan tahun ke tahun.

Keuntungan bersih syarikat barang kemas itu meningkat kepada RM106.82 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 (TK2025) berbanding RM59.50 juta pada TK2024, manakala hasil meningkat kepada RM1.31 bilion daripada RM1.05 bilion sebelumnya.

-- BERNAMA