BERITA TERKINI   GP Gulf Air Bahrain: Max Verstappen dari Red Bull Racing raih petak utama dengan catatan 1 minit 35.130 saat | Projek Wi-Fi IPTA: 1,925 titik akses beroperasi di USM setakat 30 Sept - Teo | Projek Wi-Fi IPTA capai 76 peratus, 408 lokasi siap dilaksana - Teo | PM Anwar beri bayangan umum peruntukan khusus untuk belia dalam Belanjawan 2027 | Jangan pertahan pemimpin rasuah atas sentimen kaum, parti - PM Anwar | 

Malaysia Alu-alukan Pelaburan Bahrain, Perluas Kerjasama Dalam Pelbagai Bidang

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan pelaburan dari Bahrain dan bersedia memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam hantaran di platform X malam ini, Anwar berkata kerjasama itu merangkumi bidang kesihatan, kewangan Islam, teknologi, pelancongan, keterjaminan makanan, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan pembuatan pintar.

Perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, yang melakukan kunjungan ke Malaysia sempena acara Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026.

Ad Banner

“Malaysia mengalu-alukan pelaburan Bahrain, sementara syarikat Malaysia bersedia memanfaatkan Bahrain sebagai pintu masuk ke pasaran Majlis Kerjasama Teluk (GCC), demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

“Kami turut memanfaatkan pertemuan ini untuk membincangkan usaha memperkukuh hubungan Malaysia dan Bahrain, termasuk mempercepat rundingan pegawai kanan bagi menggerakkan Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi serta memacu agenda dua hala secara strategik.

“Seiring aspirasi Ekonomi MADANI dan Wawasan Ekonomi Bahrain 2030, kami bertekad memperluas kerjasama dalam bidang kesihatan, kewangan Islam, teknologi, pelancongan, keterjaminan makanan, kecerdasan buatan, keselamatan siber dan pembuatan pintar,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Anwar turut menzahirkan penghargaan atas sokongan Bahrain dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) yang membolehkan perlumbaan F1 kembali ke Sepang buat kali pertama sejak 2017.

“Penghargaan juga kepada Bahrain International Circuit, Sepang International Circuit dan Kementerian Belia dan Sukan atas kerjasama erat sejak Julai lalu, sehingga persiapan perlumbaan ini dapat disempurnakan dalam tempoh singkat,” katanya.

Beliau berharap delegasi Bahrain, semua pasukan, pelumba dan pengunjung dapat menikmati hujung minggu perlumbaan yang lancar dan sempurna.

-- BERNAMA