Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Kembali Melonjak Didorong Keadaan Terlebih Jual Minggu Hadapan
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka akan terus didagangkan dalam jajaran kecil pada minggu hadapan. Bagaimanapun, keadaan pasaran yang terlebih jual berpotensi membuka ruang kepada berlakunya lantunan teknikal, menurut penganalisis
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata sokongan akan kelihatan pada paras 1,620 manakala tahap pemulihan di atas 1,650 akan mencetuskan rangsangan ke arah 1,660.
“Hala tuju serta-merta ini mungkin akan dipengaruhi oleh laporan pekerjaan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, terutamanya implikasinya terhadap laluan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) dan hasil Perbendaharaan AS.
“Selepas itu, pelabur akan mengalihkan perhatian mereka terhadap Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Perkhidmatan ISM AS pada Isnin dan minit mesyuarat Fed September pada Rabu, yang sepatutnya memberikan petunjuk seterusnya mengenai penilaian penggubal dasar terhadap inflasi dan keperluan untuk mengetatkan lagi," katanya kepada Bernama.
Niaga hadapan FBM KLCI ditutup lebih tinggi minggu ini, menjejaki pasaran tunai asas yang lebih kukuh.
Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak Oktober 2026 susut 32.5 kepada 1,622.5, November 2026 berada pada 1,623.0, Disember 2026 mengecil 35 mata kepada 1,629.0 dan Mac 2027 berkurangan sebanyak 34 mata kepada 1,613.5.
Pada Jumaat, jumlah dagangan mingguan merosot kepada 133,799 lot berbanding 145,235 lot yang dicatatkan pada minggu lepas, manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 47,940 kontrak daripada 145,426 kontrak.
.Sepanjang minggu lepas, FBM KLCI turun 40.75 mata untuk ditutup pada 1,630.87 semalam.
-- BERNAMA