BERITA TERKINI   Kerajaan cadang bangunkan tanah agensi kerajaan yang tidak digunakan sebagai rumah mampu milik penjawat awam - PM Anwar | PM Anwar teruskan komitmen sediakan rumah mampu milik untuk penjawat awam | PM jamin penyelesaian isu tapak rumah generasi kedua FELDA dipercepat menerusi kerjasama kerajaan negeri | Kerajaan komited selesai isu perumahan generasi kedua FELDA, terus perkukuh rumah mampu milik - PM Anwar | 

Agrobank Terima Permohonan Pembiayaan Lebih RM8 Juta Menerusi Sesi Libat Urus Penjaja

KOTA KINABALU, 5 Julai (Bernama) -- Agrobank menerima permohonan pembiayaan melebihi RM8 juta menerusi siri sesi libat urus bersama penjaja dan usahawan mikro setakat ini, mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap pendekatan turun padang bank itu dalam memperluas akses kewangan kepada peniaga kecil.

Agrobank dalam kenyataan hari ini memaklumkan pendekatan tersebut kini diperluas ke Sabah menerusi sesi libat urus di Pasar Malam Api-Api, Jalan Gaya dan Pasar Tani Tamu Papar, selepas dilaksanakan di beberapa pasar tani sekitar Lembah Klang sebelum ini.

Menurut kenyataan itu, peluasan ke Sabah menandakan langkah penting Agrobank memperluas jangkauan inisiatif berkenaan ke Borneo, selaras dengan usaha memastikan sokongan kewangan disampaikan secara lebih dekat, bersasar dan mudah diakses oleh golongan peniaga yang memerlukan.

Ad Banner

Sesi libat urus di Pasar Malam Api-Api melibatkan 153 usahawan penjaja, manakala Pasar Tani Tamu Papar membabitkan 95 usahawan penjaja, dengan pemilihan kedua-dua lokasi mengambil kira peranan pasar malam dan pasar tani sebagai nadi ekonomi setempat.

Turut meninjau sesi libat urus berkenaan semalam ialah Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata peluasan sesi libat urus ke Sabah mencerminkan komitmen bank itu untuk memastikan manfaat inisiatif kewangan tidak hanya tertumpu di pusat bandar.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sebaliknya, katanya, pendekatan berkenaan turut menjangkau komuniti peniaga kecil di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar dan Borneo.

“Selepas pelaksanaan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, kehadiran Agrobank di Sabah merupakan langkah penting untuk memahami dengan lebih dekat keperluan peniaga kecil di Borneo.

“Setiap komuniti perniagaan mempunyai cabaran dan keperluan yang berbeza, justeru pendekatan turun padang membolehkan kami memberi penerangan serta sokongan yang lebih bersesuaian dengan realiti perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata Agrobank komited memastikan penjaja dan usahawan mikro mempunyai akses lebih mudah kepada modal, khidmat nasihat kewangan serta sokongan bukan kewangan bagi membantu mereka mengurus dan mengembangkan perniagaan secara lebih tersusun dan mampan.

Agrobank memaklumkan sesi libat urus itu juga selaras dengan mandat Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengarahkan agensi kewangan supaya turun padang bagi mempercepat penyaluran modal berjumlah RM5 bilion kepada peniaga kecil di seluruh negara.

-- BERNAMA