BERITA TERKINI   Kerajaan cadang bangunkan tanah agensi kerajaan yang tidak digunakan sebagai rumah mampu milik penjawat awam - PM Anwar | PM Anwar teruskan komitmen sediakan rumah mampu milik untuk penjawat awam | 

Agrobank Optimis Sektor Agromakanan Mampu Harungi Cabaran Global

Oleh Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 5 Julai (Bernama) --  Agrobank kekal optimis terhadap daya tahan sektor agromakanan negara meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan gangguan rantaian bekalan global.

 Permintaan terhadap pembiayaan juga dijangka terus kukuh khususnya dalam kalangan usahawan mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemain industri agromakanan.

Ad Banner

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata peluang pertumbuhan turut dilihat dalam subsektor strategik seperti pengeluaran ayam dan telur, tanaman makanan, akuakultur, tenusu serta pemprosesan makanan yang menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

Beliau berkata bagi tahun ini Agrobank akan terus memberi tumpuan kepada pembiayaan subsektor berimpak tinggi termasuk aktiviti bernilai tambah, penggunaan teknologi pintar, amalan pertanian mampan serta pembangunan usahawan muda dan agropreneur baharu.

"Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, Agrobank akan terus memainkan peranan sebagai institusi kewangan pembangunan dengan menyediakan pembiayaan yang menyokong pertumbuhan mampan sektor agromakanan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Dalam pada itu, Tengku Ahmad Badli Shah menjelaskan antara risiko utama yang dihadapi bank adalah pendedahan portfolio kepada sektor perikanan yang terdedah kepada perubahan cuaca, peningkatan kos operasi, turun naik harga bahan mentah, gangguan rantaian bekalan serta risiko penyakit dan perubahan kualiti air.

Oleh yang demikian, beliau berkata bank yang memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pertanian itu akan terus mengimbangi pengurusan risiko yang berhemat dengan mandat pembangunan melalui penilaian kredit yang teliti, pemantauan berterusan serta bimbingan pelanggan.

Selain itu, penggunaan teknologi dan pendigitalan turut digalakkan bagi memastikan pertumbuhan industri agro yang inklusif dan mampan.

Tengku Ahmad Badli Shah juga menegaskan Agrobank komited memastikan pelaksanaan inisiatif bantuan kewangan tambahan menerusi Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS dimanfaatkan sepenuhnya oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Kemudahan khas bernilai RM5 bilion yang diperkenalkan kerajaan melalui Bank Negara Malaysia itu bertujuan membantu PMKS yang berdepan cabaran ekonomi global serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Mengulas prestasi pembiayaan bank berkenaan, Tengku Ahmad Badli Shah menyatakan jumlah pembiayaan Agrobank meningkat kepada RM18.59 bilion setakat 20 Mei lepas, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak RM733.96 juta berbanding RM17.86 bilion pada akhir Mei 2025.

Peningkatan itu dipacu terutamanya oleh prestasi kukuh segmen pembiayaan runcit dan PKS.

Beliau berkata setakat suku pertama 2026, jumlah pembiayaan Agrobank berkembang kepada RM18.29 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak RM432.38 juta.

"Pertumbuhan tersebut disumbangkan terutamanya oleh pembiayaan runcit sebanyak RM450.96 juta, diikuti pembiayaan PKS sebanyak RM41.61 juta, pembiayaan mikro (RM19 juta) dan pembiayaan kontrak (RM3.07 juta).

"Prestasi pembiayaan Agrobank kekal positif, khususnya dalam segmen runcit dan PKS, namun usaha perlu dipertingkatkan bagi merapatkan jurang pencapaian berbanding sasaran tahunan," katanya.

Dari segi prestasi produk, beliau berkata pembiayaan Ar Rahnu mencatatkan pertumbuhan aset sebanyak RM330 juta, bersamaan 60 peratus daripada sasaran tahunan manakala produk Hartani berkembang RM32.9 juta atau 65.8 peratus daripada sasaran.

"Produk Agrocash pula merekodkan pertumbuhan RM87.38 juta sekali gus melepasi sasaran tahunan dengan pencapaian sebanyak 116.51 peratus," katanya.

-- BERNAMA