Pekebun Kecil Sawit Johor Ubah Bantuan RM15,000 Kepada RM126,000
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Bantuan kerajaan sebanyak RM15,000 yang disalurkan kepada pekebun kecil sawit di Batu Pahat, Johor berjaya menghasilkan pulangan kasar hampir RM126,000 dalam tempoh kurang tiga tahun melalui projek Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe) melibatkan penternakan itik penelur.
Bantuan yang disediakan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membolehkan pekebun kecil sawit, Mohamad Danial Md. Jalil mengusahakan projek ternakan itik penelur di kebun sawit seluas 0.68 hektar.
Menurut MPOB dalam satu kenyataan hari ini, Mohamad Danial yang merupakan penerima bantuan pada Disember 2023 berjaya meningkatkan jumlah ternakan kepada 360 ekor itik penelur dengan pengeluaran harian mencecah 240 biji telur sehari.
Sehingga Mei 2026, projek tersebut merekodkan pengeluaran sebanyak 94,860 biji telur dengan nilai pendapatan kasar mencecah RM126,000 selain menjana pendapatan sampingan sekitar RM2,000 hingga RM4,000 sebulan.
Mohamad Danial turut mempelbagaikan produk dengan menghasilkan telur masin sekali gus meningkatkan nilai tambah hasil ternakannya bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan termasuk tempahan untuk majlis keraian.
Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata konsep integrasi ternakan dan sawit merupakan antara strategi penting kementerian dalam memperkukuh daya tahan ekonomi pekebun kecil selain menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
"Kita mahu lebih ramai pekebun kecil melihat kebun sawit bukan hanya sebagai sumber pengeluaran tandan buah segar (TBS) tetapi sebagai platform menjana pelbagai sumber pendapatan melalui aktiviti integrasi yang berdaya maju dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek ITe di Kampung Gombak, Mukim Peserai, Batu Pahat, Johor hari ini.
Projek tersebut turut memberi manfaat kepada aspek kemampanan ladang apabila sisa ternakan digunakan sebagai baja organik semula jadi yang membantu mengurangkan penggunaan baja kimia, meningkatkan kesuburan tanah dan mengoptimumkan penggunaan kawasan tanaman sawit.
Skim ITe merupakan komitmen kementerian melalui MPOB bagi menaik taraf sosioekonomi pekebun kecil sawit persendirian selari dengan dasar keterjaminan makanan dan pertanian mampan.
-- BERNAMA