Malaysia, Laos Perkukuh Kerjasama Perdagangan, Pelaburan, Ketersambungan
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Laos menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh kerjasama dua hala serta mempererat perkongsian serantau dengan memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan ketersambungan sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Komitmen itu dizahirkan pada satu majlis di Vientiane pada Jumaat yang turut menyaksikan pelancaran rasmi sambutan ulang tahun bersejarah itu.
Berucap pada majlis berkenaan, Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud berkata logo ulang tahun yang diperkenalkan pada acara itu melambangkan enam dekad persahabatan, saling menghormati dan kerjasama sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1 Julai 1966.
"Hubungan dua hala telah berkembang menjadi perkongsian yang luas dan berpandangan jauh merangkumi kerjasama politik, ekonomi serta hubungan antara rakyat," katanya menurut Agensi Berita Laos (KPL).
Edi Irwan berkata hubungan peringkat tinggi antara kedua-dua negara terus berkembang, termasuk menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Laos pada 2023 dan lawatan Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone ke Malaysia pada 2025.
"Penglibatan berterusan di bawah giliran kedua-dua negara sebagai Pengerusi ASEAN mencerminkan komitmen bersama terhadap kerjasama dan integrasi serantau," katanya.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Luar Laos Maithong Thammavongsa, pegawai kanan kerajaan, anggota kor diplomatik serta wakil pertubuhan antarabangsa.
Sementara itu, Maithong berkata Laos dan Malaysia telah membina perkongsian kukuh sepanjang enam dekad berasaskan persahabatan, kepercayaan, saling menghormati dan kepentingan bersama.
Beliau berkata kedua-dua negara telah bekerjasama rapat menerusi platform dua hala, serantau dan antarabangsa bagi mempromosikan keamanan, kestabilan dan pembangunan mampan.
Beliau berkata Malaysia juga merupakan pelabur asing keempat terbesar di Laos dengan pelaburan terkumpul kira-kira US$946 juta, manakala perdagangan dua hala meningkat kepada lebih US$65 juta pada 2025 berbanding kira-kira US$43 juta pada 2024, sekali gus mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin kukuh.
Pelbagai program sempena ulang tahun itu, termasuk pertukaran perutusan tahniah, lawatan peringkat tinggi dan mesyuarat dua hala, akan diadakan sepanjang 2026 bagi memperingati detik bersejarah itu serta memperkukuh kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan, ketersambungan dan hubungan antara rakyat.
-- BERNAMA