Bursa Malaysia Terus Kukuh Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan kenaikan pada dagangan tengah hari, dipacu saham wajaran tinggi dalam sektor perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan dan pengangkutan.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.53 mata atau 0.21 peratus kepada 1,682.58 daripada paras 1,679.05 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu dibuka 3.35 mata lebih tinggi pada 1,682.40 dan bergerak antara 1,678.37 hingga 1,685.49 sepanjang sesi dagangan pagi.
Sentimen pasaran bagaimanapun negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 594 berbanding 303, manakala 493 kaunter tidak berubah, 1,260 tidak diniagakan dan 10 digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 1.57 bilion saham bernilai RM759.56 juta.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, Apex Securities Bhd berkata kaunter berkaitan teknologi dan semikonduktor dijangka kembali menjadi tumpuan susulan pemulihan pasaran serantau pada Jumaat lepas.
Katanya syarikat tempatan yang mempunyai pendedahan sebenar kepada kecerdasan buatan (AI), khususnya yang terbabit dalam aktiviti pembersihan berketepatan tinggi, pembungkusan termaju serta pemeriksaan dan pengujian, berada pada kedudukan terbaik untuk meraih manfaat daripada minat pelabur yang kembali pulih.
"Pada masa sama, saham perbankan dijangka terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi pergerakan indeks," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik enam sen kepada RM10.86, Public Bank menambah dua sen kepada RM4.91, Tenaga Nasional meningkat dua sen kepada RM14.30, CIMB Group naik satu sen kepada RM7.61, IHH Healthcare menokok lapan sen kepada RM8.23, manakala MISC meningkat 15 sen kepada RM7.90.
Bagi saham aktif, Silver Ridge susut 1.5 sen kepada 19.5 sen, Zetrix AI merosot 2.5 sen kepada 76.5 sen, AMS Advanced Material melonjak lima sen kepada 46.5 sen, Eckem Holdings meningkat 1.5 sen kepada 13.5 sen, manakala Tanco tidak berubah pada 17.5 sen.
Dalam kalangan kaunter untung, United Plantations naik 22 sen kepada RM33.34, Bintulu Port Holdings menambah 21 sen kepada RM5.56, Petronas Dagangan meningkat 16 sen kepada RM19.42, Grand Central Enterprises naik 11 sen kepada 39 sen dan Kee Ming Group menokok sembilan sen kepada RM1.85.
Bagi kaunter rugi pula, Malaysian Pacific Industries susut RM1.26 kepada RM46.52, Nestle merosot 86 sen kepada RM90.34, Panasonic Manufacturing turun 19 sen kepada RM5.70, Frontken Corporation kehilangan 16 sen kepada RM4.77 dan UMS Integration susut 16 sen kepada RM7.94.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 8.90 mata kepada 12,465.91, Indeks FBMT 100 naik 11.69 mata kepada 12,294.99 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 0.37 mata kepada 12,292.60.
Sementara itu, Indeks FBM 70 susut 43.17 mata kepada 17,797.19, manakala Indeks FBM ACE turun 23.92 mata kepada 4,870.69.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 54.04 mata kepada 19,886.00, manakala Indeks Perladangan naik 29.31 mata kepada 8,998.85.
Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.93 mata kepada 181.51 dan Indeks Tenaga turun 0.74 mata kepada 757.86.
-- BERNAMA