BERITA TERKINI   PRN Johor : 588 aduan kesalahan pilihan raya, 44 laporan polis, tiga laporan SPRM dibuat setakat ini - SPR | PRN Johor: SPR sasar kadar keluar mengundi awal sebanyak 96 peratus | PRN Johor : Sebanyak 29 pusat mengundi awal ditutup setakat 12 tengah hari ini - SPR | PRN Johor : Sebanyak 82 peratus keluar mengundi awal setakat 1 tengah hari ini - SPR | RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini | 

TNB Bekal Elektrik Kepada 36 Pusat Data Setakat Suku Pertama 2026

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah membekalkan elektrik kepada 36 pusat data yang beroperasi dengan kapasiti perancangan bekalan sekitar 4.5 gigawatt (GW) sehingga suku pertama 2026, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Kementerian memaklumkan selain itu TNB telah menampung permintaan untuk 23 projek pusat data yang sedang dalam pembinaan dengan kapasiti permintaan maksimum sebanyak 3.8GW.

Menurutnya, berdasarkan unjuran Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Bil. 1/2026, permintaan puncak dijangka meningkat secara signifikan daripada 21.3GW pada 2026 kepada 33.5GW menjelang 2035, dipacu kepesatan kemasukan pusat data dan industri berteknologi tinggi. 

Ad Banner

“Penggunaan elektrik oleh sektor pusat data sahaja dijangka menyumbang sehingga 31 peratus atau bersamaan dengan 73,274 gigawatt-jam (GWh) daripada jumlah keseluruhan permintaan pada 2035 berbanding tujuh peratus tahun ini,” menurut PETRA dalam jawapan bertulis 6 Julai 2026 yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen.

Kementerian menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai kedudukan semasa TNB dalam membekalkan tenaga elektrik untuk tempoh 10 tahun akan datang termasuk keperluan pusat data, industri berteknologi tinggi dan peralihan tenaga hijau dan cadangan naik taraf grid nasional.

PETRA memaklumkan, dalam konteks peralihan tenaga hijau negara, kerajaan kekal komited untuk memastikan campuran kapasiti bekalan elektrik negara dioptimumkan melalui penggunaan 70 peratus sumber tenaga bersih iaitu merangkumi 58 peratus tenaga boleh baharu (TBB), 10 peratus hidrogen dan dua peratus nuklear menjelang 2050 seperti yang telah diputuskan oleh Mesyuarat JPPPET Bil. 1/2026.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi menyokong kemasukan TBB yang lebih tinggi dalam sistem pembekalan elektrik negara, kerajaan telah meluluskan peruntukan keseluruhan perbelanjaan modal berjumlah RM43 bilion kepada TNB di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bagi tempoh kawal selia keempat (RP4) untuk fasa pelaksanaan 2025 hingga 2027.

-- BERNAMA