RNG Tech Perluas Operasi, Sasar Pasang Lebih 800 Kerusi Urut Di Malaysia, Empat Negara ASEAN
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- RNG Tech Bhd menyasarkan pemasangan lebih 800 kerusi urut layan diri di seluruh Malaysia dan empat negara ASEAN pada tahun ini sebagai antara strategi pengembangannya selepas disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan kumpulan Shin Kok Leong berkata pemasangan itu melibatkan sebanyak 360 kerusi urut layan diri di Malaysia dan 450 unit di Singapura, Thailand, Kemboja dan Brunei.
Walaupun masih belum mengenal pasti negeri atau lokasi khusus bagi pemasangan di dalam negara, syarikat akan memberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai jumlah pengunjung yang tinggi.
"Kami masih belum mempunyai lokasi khusus, tetapi akan memberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai trafik tinggi seperti pusat beli-belah, hab pengangkutan dan lapangan terbang," katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.
Pada permulaan dagangan, saham syarikat dibuka tidak berubah pada harga 13 sen ketika mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, tidak berubah seperti harga tawaran awam permulaan (IPO), dengan 23.11 juta saham diniagakan
RNG Tech adalah operator kerusi urut layan diri terbesar di Malaysia, yang terkenal dengan jenama "Rest N Go."
Pengarah Urusan kumpulan Datin Sophia Tan Sok Fei berkata pada masa ini syarikat itu merupakan pengendali kerusi urut layan diri berkonsepkan mesin layan diri terbesar di Malaysia dari segi perolehan, dengan menguasai 66.2 peratus bahagian pasaran selain beroperasi di Vietnam dan Filipina menerusi model pelesenan.
Beliau berkata pada suku pertama berakhir 31 Mac 2026, syarikat mencatatkan perolehan sebanyak RM16.9 juta dan keuntungan bersih RM3.4 juta, dengan Malaysia kekal sebagai pasaran terbesar, yang menyumbang 59.5 peratus daripada jumlah perolehan.
Menurut Shin, dari segi sumbangan perolehan, syarikat akan menumpukan kepada pengembangan pasaran luar negara terutama Thailand yang kini menjadi pasaran luar negara terbesarnya dengan menyumbang kira-kira 21.8 peratus daripada perolehan, seperti yang dilaporkan dalam prestasi kewangan suku pertama 2026.
Beliau bagaimanapun berkata, RNG Tech akan terus memberi tumpuan kepada pasaran domestik dengan berkembang ke lokasi baharu dan memperluas operasinya di lokasi sedia ada.
-- BERNAMA