Bursa Malaysia Akhiri Sesi Pagi Lebih Rendah Berikutan Tekanan Jualan Saham Wajaran Tinggi
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah hari ini berikutan aktiviti penjualan berterusan dalam saham wajaran tinggi, terutamanya saham-saham kewangan hingga menjejaskan sentimen pasaran.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.35 mata, atau 0.20 peratus kepada 1,680.18 daripada 1,683.53 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah 0.11 mata pada 1,683.42 dan berlegar antara 1,684.19 dan 1,676.94 sepanjang sesi dagangan pagi.
Sentimen pasaran masih negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 480 berbanding 321, manakala 557 kaunter tidak berubah, 1,293 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.57 bilion saham bernilai RM848.91 juta.
Dalam nota penyelidikan hari ini, Apex Securities Bhd menyatakan selera risiko global kekal positif, disokong oleh penilaian semula yang lebih cenderung untuk Rizab Persekutuan (Fed) menurunkan kadar faedah susulan data penggajian Amerika Syarikat (AS) yang lemah minggu lalu, menyaksikan Wall Street melonjak ke paras rekod baharu.
“Bagaimanapun, keadaan di Asia adalah lebih bercampur-campur dan bergantung kepada saham tertentu dengan KOSPI Korea Selatan dan Nikkei Jepun berehat seketika selepas mengalami turun naik yang mendadak baru-baru ini, sementara pasaran kini menumpukan perhatian kepada beberapa perisitiwa penting yang boleh mempengaruhi pasaran.
"Bagi FBM KLCI, ini menunjukkan pasaran dijangka naik sedikit dalam masa terdekat. Bagaimanapun, kenaikan ini mungkin terhad dan hanya dipacu oleh saham wajaran tinggi (bank dan perladangan) sehinggalah sentimen untuk saham teknologi dan semikonduktor serantau kembali stabil sepenuhnya," menurut nota itu.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM10.96, Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.30, manakala Public Bank dan CIMB masing-masing susut satu sen kepada RM4.90 dan RM7.60, sementara IHH Healthcare merosot tiga sen kepada RM8.30.
Bagi saham aktif, syarikat baharu di Pasaran ACE iaitu RNG Tech, serta Zetrix AI dan Tanco semuanya tidak berubah masing-masing pada 13 sen, 76 sen dan 18.5 sen. Asdion susut 1.5 sen kepada setengah sen, manakala Efficient E-Solutions meningkat 1.5 sen kepada 11.5 sen.
Antara kaunter paling untung termasuk Malaysian Pacific Industries yang meningkat 66 sen kepada RM46.48; United Plantations dan Hong Leong Bank masing-masing melonjak 18 sen kepada RM33.68 dan RM22.02, manakala Unisem menokok 13 sen kepada RM4.64 dan Kee Ming meningkat 11 sen kepada RM1.94.
Dalam kalangan kaunter paling rugi, Dutch Lady Milk susut 34 sen kepada RM32.06, PJBumi dan SHL Consolidated masing-masing merosot 12 sen kepada RM3.69 dan RM2.23, manakala Mulpha International menyusut 10 sen kepada RM2.90 dan ITMax System berkurang sembilan sen kepada RM4.79.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 23.67 mata kepada 12,449.05, Indeks FBMT 100 jatuh 23.26 mata kepada 12,278.38, Indeks FBM Emas Shariah merosot 29.43 mata kepada 12,258.19, manakala Indeks FBM ACE turun 20.87 mata kepada 4,872.0 dan Indeks FBM 70 susut 28.38 mata kepada 17,777.26.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 6.29 mata kepada 19,940.71 dan Indeks Tenaga melonjak 1.46 mata kepada 760.95. Sementara itu, Indeks Perladangan merosot 17.48 mata kepada 8,990.31 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.55 mata kepada 180.81.
-- BERNAMA