Skim NCM Industri Automotif Dirombak, Sasar Dilaksanakan Pada 2027 -- Johari
Johari berkata kerajaan tidak mengharapkan semua komponen kenderaan dihasilkan dalam negara, sebaliknya kandungan tempatan boleh dipertingkat secara berperingkat mengikut kemampuan industri.
Ini berikutan matlamat utama kerajaan adalah memastikan lebih banyak komponen bukan kritikal dapat dihasilkan oleh syarikat tempatan yang dapat memperkukuh rantaian bekalan domestik dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada vendor tempatan.
Kerajaan turut mengambil kira kelemahan dalam pelaksanaan dasar sebelum ini apabila ada syarikat mengimport komponen dari luar negara sebelum melantik syarikat tempatan sebagai pengedar, memasang komponen berkenaan dan seterusnya mengklasifikasikannya sebagai produk tempatan.
Tindakan itu tidak memenuhi objektif asal pembangunan industri automotif tempatan, malah menunjukkan keperluan mekanisme insentif berkaitan diperhalusi semula.
Dalam pada itu, beliau berkata import kenderaan dan komponen automotif meningkat kepada RM33.8 bilion pada 2025 berbanding RM13 bilion pada 2020 yang turut menunjukkan keperluan menilai semula strategi pembangunan industri automotif negara.
Johari berkata ini penting kerana kerajaan mahu memastikan setiap industri diurus dengan baik supaya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan turut menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara.
“Setiap industri perlu diuruskan agar PKS kita dapat terus dilindungi. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita berkembang lebih daripada 68 peratus dalam tempoh 10 tahun lepas, tetapi PKS berkembang dua peratus sahaja. Kalau pertumbuhan ini dua peratus dalam tempoh 10 tahun, macam mana PKS nak hidup (meneruskan kelangsungan)?” katanya.
Beliau berkata walaupun kerajaan memerlukan pelabur asing, namun pelaburan itu perlu melengkapi ekosistem sedia ada dan bukannya menjejaskan syarikat tempatan.
“Bagi saya, ya kita perlukan pelabur tetapi pelabur yang datang untuk melengkapi apa yang ada. Kita perlu berkembang bersama dan bukan sebaliknya,” katanya.
Johari berkata Malaysia juga mempunyai kelebihan sebagai hab pembuatan automotif bagi pasaran ASEAN yang berjumlah lebih 700 juta penduduk dan syarikat automotif global perlu melihat negara ini sebagai pangkalan pengeluaran serantau dan bukan sekadar pasaran jualan domestik.
Selain itu, beliau menyifatkan MCE sebagai contoh syarikat tempatan yang berjaya membangunkan teknologi automotif bernilai tinggi dan berpotensi menembusi pasaran eksport yang selaras dengan aspirasi kerajaan melahirkan lebih banyak syarikat tempatan berteknologi tinggi.
-- BERNAMA