BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI tidak berkompromi dengan politik perkauman, hak setiap kaum mesti dihormati - PM Anwar | Kerajaan komited perkukuh pendidikan secara inklusif - PM Anwar | Pendidikan untuk semua rakyat, bukan mengikut kaum - PM Anwar | PRN Johor: Majikan tidak dibenar potong gaji, kenakan penalti terhadap pekerja keluar mengundi - SPR | PRN Johor: Majikan diminta beri tempoh munasabah kepada pekerja untuk mengundi Sabtu ini - SPR | 

Jalinan Kerjasama Tamco-Hoymiles Perkukuh Infrastruktur Tenaga Masa Depan Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Tamco, penyedia penyelesaian infrastruktur tenaga terkemuka dan Hoymiles, inovator global dalam bidang penstoran tenaga serta solar, hari ini menjalin kerjasama strategik untuk menyokong pembangunan infrastruktur tenaga masa depan Malaysia.

Kedua-dua syarikat itu akan menggabungkan teknologi penyimpanan tenaga bertaraf global dengan kepakaran daripada industri tempatan.

Fasa pertama kerjasama ini akan menyaksikan Tamco melakukan pemasangan tempatan bagi penyelesaian sistem penyimpanan tenaga bateri berskala utiliti berkapasiti lima megawatt-jam (MWh) dan enam MWh bersama teknologi penyejukan cecair yang dipertingkat dengan kecerdasan buatan (AI) keluaran Hoymiles di kemudahannya di Shah Alam.

Ad Banner

"Dengan memanfaatkan teknologi penyimpanan tenaga Hoymiles yang diguna pakai secara global dan pengalaman enam dekad Tamco dalam menyediakan penyelesaian infrastruktur tenaga, kerjasama ini akan memperluas portfolio penyelesaian tenaga Tamco.

"Pada masa yang sama, ia akan boleh meningkatkan akses dan sokongan tempatan terhadap penyelesaian penyimpanan tenaga berskala besar di Malaysia," menurut kenyataan bersama Tamco-Hoymiles dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kerjasama Tamco-Hoymiles menunjukkan bagaimana kepakaran global boleh melengkapi kekuatan kejuruteraan Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada masa yang sama, kerjasama ini turut memperkukuh rantaian bekalan tempatan, memudahkan pemindahan teknologi dan mewujudkan peluang bernilai tinggi kepada syarikat serta tenaga kerja tempatan.

"Selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kerjasama seperti ini akan memperkukuh daya saing perindustrian Malaysia di samping memberikan manfaat ekonomi dan sosioekonomi yang lebih meluas kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, CEO Tamco Switchgear (Malaysia) Sdn Bhd Wong Jun Pin berkata kerjasama dengan Hoymiles merupakan langkah penting dalam memperluas penyelesaiannya, di samping memperkukuh kepakaran kejuruteraan dan keupayaan teknikal yang diperlukan untuk menyokong infrastruktur tenaga masa depan negara.

"Inovasi mewujudkan kemungkinan, tetapi pelaksanaan dan komitmen jangka panjang yang mengubahnya menjadi penyelesaian yang boleh diharapkan oleh pihak industri dan komuniti.

"Kepercayaan yang dipegang itu menjadi panduan kepada Tamco selama lebih enam dekad dan akan terus membentuk cara kami menyumbang kepada perkembangan landskap tenaga Malaysia yang kian berubah," jelas Wong.

Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Teknologi dan Naib Presiden Hoymiles Dr Zhao Yi berkata kejayaan penyelesaian tenaga termaju bergantung kepada teknologi dan kerjasama yang kukuh dengan pihak tempatan.

"Malaysia telah membina asas yang kukuh untuk masa depan tenaga. Kepakaran daripada pihak kejuruteraan Tamco dan pemahaman mereka tentang persekitaran operasi tempatan telah menjadikan mereka rakan kongsi yang ideal untuk menterjemahkan pengalaman global kami kepada penyelesaian yang memberikan nilai di peringkat tempatan," katanya.

Selain daripada pemasangan tempatan, kerjasama itu turut merangkumi integrasi sistem, pengujian, pentauliahan, perkhidmatan dan penyelenggaraan jangka panjang. Ia juga akan diperluaskan secara progresif kepada pertukaran pengetahuan teknikal, pembangunan bakat pakar dan inisiatif penyetempatan.

Usaha daripada kedua-dua syarikat itu akan terus memperkukuh keupayaan industri Malaysia dan meletakkan negara sebagai hab serantau untuk infrastruktur tenaga termaju, tambah kenyataan berkenaan.

-- BERNAMA