Bursa Malaysia Susut Sedikit Pada Tengah Hari Susulan Pengambilan Untung Sederhana

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia menyusut sedikit pada tengah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung secara sederhana pada akhir sesi dagangan pagi, sekali gus menjejaskan sentimen pasaran.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.69 mata atau 0.04 peratus kepada 1,682.24 mata berbanding 1,682.93 mata semasa ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka meningkat 3.05 mata kepada 1,685.98 mata dan bergerak dalam julat 1,681.27 hingga 1,690.57 mata sepanjang sesi dagangan pagi.

Ad Banner

Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 492 berbanding 355 manakala 519 kaunter tidak berubah, 1,305 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 1.74 bilion unit bernilai RM899.56 juta.

Menurut Apex Securities Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, kenaikan yang sebelum ini dipacu oleh saham-saham wajaran tinggi kini berdepan risiko tekanan jualan akibat aktiviti pengambilan untung yang ketara, terutama dalam sektor teknologi dan saham berkaitan semikonduktor.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Sehubungan itu, pasaran dijangka lebih defensif dalam tempoh terdekat dan menunggu petunjuk yang lebih jelas berhubung kestabilan sentimen industri cip serantau sebelum kembali aktif dalam pasaran.

"Mengenai pemangkin domestik, keputusan Kadar Dasar Semalaman Bank Negara Malaysia pada 9 Julai dan Pilihan Raya Negeri Johor pada 11 Julai, masih menjadi perhatian. Namun ketidaktentuan luaran dijangka mempengaruhi pergerakan harga saham sepanjang minggu ini," katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM10.96, CIMB meningkat satu sen kepada RM7.61, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing tidak berubah pada RM4.91 dan RM14.30 manakala IHH Healthcare rendah sembilan sen kepada RM8.29.

Bagi saham aktif, Zetrix AI kekal tidak berubah pada 75.5 sen, GIIB dan Pentech masing-masing susut setengah sen kepada 49.5 sen dan 27.5 sen, dan AirAsia X menyusut empat sen kepada RM1.14 manakala Dagang NeXchange menambah satu sen kepada 44 sen.

Kaunter paling untung antaranya United Plantations meningkat 48 sen kepada RM34.22, Allianz Malaysia naik 28 sen kepada RM20.88, Kuala Lumpur Kepong menambah 20 sen kepada RM21.88, Malaysian Pacific Industries menokok 16 sen kepada RM46.00 manakala United Malacca naik 13 sen kepada RM6.07.

Kaunter paling rugi diterajui Fraser & Neave yang menyusut 32 sen kepada RM29.34, Nestle rendah 28 sen kepada RM90.52, Petronas Gas berkurangan 18 sen kepada RM17.62, Press Metal Aluminium turun 17 sen kepada RM7.50 dan Hong Leong Industries rendah 12 sen kepada RM18.82.

Dalam kalangan indeks pasaran yang lebih luas, Indeks FBM Emas turun 5.93 mata kepada 12,456.86, Indeks FBMT 100 susut 5.23 mata kepada 12,287.68, Indeks FBM 70 menyusut 8.53 mata kepada 17,766.07 manakala Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 18.79 mata kepada 12,265.56, dan Indeks FBM ACE turun 19.61 mata kepada 4,854.54.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 28.80 mata kepada 19,956.76, Indeks Tenaga meningkat 2.68 mata kepada 764.01, Indeks Perladangan naik 63.11 mata kepada 9,104.99 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.27 mata kepada 179.93.

-- BERNAMA