Belian Pada Akhir Dagangan Dorong Bursa Malaysia Ditutup Tinggi
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Aktiviti belian pada akhir dagangan mendorong Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Rabu walaupun pasaran serantau mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.68 mata kepada 1,683.61 daripada 1,682.93 semasa ditutup pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 3.05 mata kepada 1,685.98 dan bergerak antara 1,679.30 dan 1,690.57 sepanjang sesi dagangan.
Bagaimanapun, pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 627 berbanding 480 manakala 506 kaunter tidak berubah, 1,078 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.96 bilion unit bernilai RM2.18 bilion daripada 2.69 bilion unit bernilai RM2.06 bilion pada Selasa.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pasaran tempatan berada di bawah tekanan sepanjang sesi dagangan apabila pelabur memberikan reaksi terhadap kenaikan harga minyak mentah selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara baharu ke atas sasaran ketenteraan Iran dan menarik balik pengecualian eksport minyak Iran, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan bekalan melalui Selat Hormuz.
“Walaupun kecenderungan pelabur untuk mengambil risiko kekal rendah di kebanyakan pasaran Asia, aktiviti belian oleh pelabur institusi pada akhir sesi dagangan meningkatkan petunjuk pasaran tempatan kepada zon positif.
“Ini mencerminkan sentimen domestik yang kekal berdaya tahan walaupun pelabur terus memantau perkembangan geopolitik dan implikasinya terhadap harga tenaga, jangkaan inflasi dan prospek kadar faedah global,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing meningkat dua sen kepada RM10.94 dan RM4.93, CIMB naik empat sen kepada RM7.64, Tenaga Nasional mendatar pada RM14.30 manakala IHH Healthcare menurun enam sen kepada RM8.32.
Bagi saham aktif, Zetrix AI dan Pentech, masing-masing berkurangan setengah sen kepada 75 sen dan 27.5 sen, AirAsia X merosot empat sen kepada RM1.14, Nationgate menyusut 3.5 sen kepada 80 sen manakala GIIB naik setengah sen kepada 50.5 sen.
Kaunter paling untung ialah United Plantations meningkat 60 sen kepada RM34.34, Allianz Malaysia naik 38 sen kepada RM20.98, Nestle menambah 30 sen kepada RM91.10, Petronas Chemicals menokok 22 sen kepada RM4.47 dan Ayer Holdings naik 15 sen kepada RM7.35.
Kaunter paling rugi ialah UMS Integration merosot 32 sen kepada RM7.80, Petronas Gas menurun 28 sen kepada RM17.52, Hong Leong Industries berkurangan 26 sen kepada RM18.68, Pentamaster menyusut 19 sen kepada RM4.54 dan Press Metal Aluminium menurun 17 sen kepada RM7.50.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 meningkat 0.85 mata kepada 12,293.76 manakala Indeks FBM Emas menurun 0.78 mata kepada 12,462.01, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 19.16 mata kepada 12,265.19, Indeks FBM ACE menyusut 27.38 mata kepada 4,846.77 dan Indeks FBM 70 merosot 16.25 mata kepada 17,758.35.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 57.47 mata kepada 19,985.43, Indeks Tenaga menambah 10.01 mata kepada 771.34, Indeks Perladangan melonjak 52.50 mata kepada 9,094.38 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 0.40 mata kepada 180.80.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.18 bilion unit bernilai RM1.87 bilion daripada 1.20 bilion unit bernilai RM1.76 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran naik kepada 1.35 bilion unit bernilai RM170.96 juta daripada 940.84 juta unit bernilai RM136.91 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menurun kepada 425.13 juta unit bernilai RM138.50 juta daripada 552.24 juta unit bernilai RM156.24 juta semalam.
Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 188.20 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (258.65 juta), pembinaan (74.12 juta), teknologi (235.78 juta), perkhidmatan kewangan (51.13 juta), hartanah (99.15 juta), perladangan (29.87 juta), amanah pelaburan hartanah (18.58 juta), dana tertutup (21,700), tenaga (90.51 juta), penjagaan kesihatan (66.10 juta), telekomunikasi dan media (24.66 juta), pengangkutan dan logistik (19.95 juta), utiliti (29.65 juta) dan amanah perniagaan (48,200).
-- BERNAMA