Bursa Malaysia Dibuka Rendah Seiring Ketidaktentuan Di Asia Barat
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis berikutan ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat telah menjejaskan sentimen pelabur.
Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.20 mata atau 0.13 peratus kepada 1,681.41 mata berbanding 1,683.61 mata semasa ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka menyusut 2.62 mata kepada 1,680.99.
Walaupun dagangan dibuka rendah, sentimen pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 176 berbanding 147 manakala 287 kaunter tidak berubah, 2,086 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 145.44 juta saham bernilai RM75.20 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata dagangan di Wall Street adalah bercampur-campur dalam tempoh semalaman berikutan keyakinan pelabur beralih kepada berwaspada susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bahawa perjanjian gencatan senjata dengan Iran telah berakhir.
"Bagi FBM KLCI, kami menjangkakan aktiviti jualan saham mungkin berlaku berikutan kegagalan perjanjian gencatan senjata AS-Iran, yang menyebabkan harga minyak mentah meningkat, dengan minyak mentah Brent kini diniagakan melebihi US$78 setong.
"Oleh itu, kami menjangkakan indeks ini akan berada dalam julat 1,675-1,690 hari ini," katanya kepada Bernama.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing naik dua sen kepada RM10.96 dan RM14.32. IHH Healthcare tidak berubah pada RM8.32 manakala Public Bank susut tiga sen kepada RM4.90 dan CIMB menyusut satu sen kepada RM7.63.
Dalam kalangan saham aktif, SRKK AI yang mula disenaraikan di Pasaran ACE meningkat 27.5 sen kepada 59.5 sen, Tanco, GIIB dan TWL masing-masing tidak berubah pada 18.5 sen, 50.5 sen dan 2.5 sen manakala Iris Group menambah setengah sen kepada 26 sen.
Bagi kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries menambah 30 sen kepada RM46, Nestle meningkat 18 sen kepada RM91.28 manakala Pentamaster dan Vitrox masing-masing naik 11 sen kepada RM4.65 dan RM7.56.
United Plantations mendahului kaunter rugi apabila menyusut 12 sen kepada RM34.22. MISC berkurangan sembilan sen kepada RM7.85, Petronas Dagangan dan Fraser & Neave masing-masing rendah lapan sen kepada RM19.56 dan RM29.56 manakala Sunway Construction turun enam sen kepada RM7.45.
Bagi indeks yang lebih luas, Indeks FBM Emas turun 5.95 mata kepada 12,456.06, Indeks FBMT 100 merosot 8.62 mata kepada 12,285.14 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 0.74 mata kepada 12,264.45.
Indeks FBM 70 meningkat 19.25 mata kepada 17,777.60 manakala Indeks FBM ACE naik 10.29 mata kepada 4,857.06.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 20.53 mata kepada 19,964.90, Indeks Perladangan menyusut 12.92 mata kepada 9,081.46 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.14 mata kepada 180.66. Indeks Tenaga meningkat 2.05 mata kepada 773.39.
-- BERNAMA