SRKK AI Sasar Operasi Di Indonesia Sumbang Hasil Dalam Tempoh Tiga Tahun
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Penyedia penyelesaian transformasi digital SRKK AI Bhd menjangkakan pengembangannya ke Indonesia akan mula memberi sumbangan penting kepada perolehan kumpulan dalam tempoh tiga tahun susulan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Yew Lip Sin berkata syarikat menyasarkan untuk menjana pulangan daripada operasi perniagaannya di Indonesia dalam tempoh lebih singkat berbanding pengalaman operasinya di Singapura.
"Di Singapura, kami mengambil masa hampir lima tahun untuk memberikan impak yang ketara. Kini kami lebih matang dan mempunyai dana daripada tawaran awam permulaan (IPO). Oleh itu, kedudukan kewangan kami kukuh. Kami mungkin boleh berusaha lebih baik berbanding sebelum ini.
"Kami berharap mendapat sumbangan yang positif daripada pelaburan di Indonesia dalam tempoh tiga tahun berbanding lima tahun," katanya pada sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.
Menurut Yew syarikat itu akan menggunakan model operasi yang sama seperti perniagaannya di Singapura dengan memanfaatkan ibu pejabatnya di Malaysia sebagai pusat kecemerlangan, dan pada masa sama membangunkan pasukan tempatan di Indonesia untuk menguruskan peranan melibatkan pelanggan.
"Bagi sebarang tugasan yang perlu dilakukan secara bersemuka dan melibatkan penglibatan secara langsung dengan pelanggan, kami perlu menggajikan pekerja tempatan," katanya.
Yew berkata syarikat itu telah memilih sebuah pejabat di Jakarta, melantik eksekutif utama untuk menerajui operasinya di Indonesia sekali gus menjangkakan penubuhan entiti syarikat itu di negara berkenaan akan selesai dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Menurutnya syarikat itu telah berjaya mendapatkan projek bukti konsep daripada sebuah konglomerat utama di Indonesia, sekali gus melambangkan prospek yang memberangsangkan bagi pengembangan perniagaannya ke pasaran serantau.
Pada sesi pembukaan dagangan, SRKK AI mula disenaraikan kukuh apabila dibuka pada 60 sen berbanding harga IPO 32 sen, dengan 11 juta saham bertukar tangan.
Mengulas mengenai hari pertama disenaraikan, Ketua Pegawai Strategi SRKK AI Alex Lam berkata syarikat tidak menjangkakan saham itu dibuka kukuh, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas perniagaan syarikat, asas perolehan berulang, margin keuntungan serta prestasi kewangan keseluruhan SRKK AI.
Lam berkata status rakan kongsi terurus Microsoft yang dimiliki SRKK AI akan mempercepat pengembangan serantaunya melalui akses kepada peluang perniagaan baharu.
Menurutnya SRKK AI adalah antara beberapa rakan kongsi terurus Microsoft di Malaysia, yang membolehkan syarikat bekerjasama erat dengan syarikat teknologi gergasi itu.
"Microsoft berperanan penting dalam memberikan kami prospek dan peluang. Mereka membantu membuka peluang, dan apabila digabungkan dengan kepakaran serta pengkhususan kami, langkah ini akan membolehkan kami memberi impak yang ketara di Indonesia dengan lebih pantas," katanya.
-- BERNAMA