Jumlah Tanggungan 1MDB Kerajaan Berjumlah RM51.4 Bilion - Kementerian Kewangan
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Jumlah keseluruhan tanggungan kerajaan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) termasuk yang telah dilunaskan dan masih belum dijelaskan berjumlah RM51.4 bilion, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Liew berkata daripada jumlah itu, kerajaan telah membayar sebanyak RM42.5 bilion bagi melunaskan hutang dan komitmen 1MDB termasuk bayaran prinsipal, faedah, kos guaman, kos operasi serta komitmen lain.
"Di samping itu kerajaan juga masih bertanggungjawab menanggung Nota Jangka Sederhana Islam (Sukuk Islamic Medium Term Notes) yang dijamin kerajaan berjumlah RM8.9 bilion.
"Sukuk ini meliputi bayaran prinsipal sebanyak RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion yang akan matang pada 2039," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Liew berkata sekiranya tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan kerajaan masih perlu menanggung baki sebanyak RM20.1 bilion daripada keseluruhan obligasi tersebut.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan jumlah keseluruhan hutang 1MDB yang ditanggung Kerajaan Persekutuan serta jumlah yang telah dibayar bagi melunaskan hutang berkenaan setakat ini.
-- BERNAMA