BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI tidak berkompromi dengan politik perkauman, hak setiap kaum mesti dihormati - PM Anwar | Kerajaan komited perkukuh pendidikan secara inklusif - PM Anwar | Pendidikan untuk semua rakyat, bukan mengikut kaum - PM Anwar | PRN Johor: Majikan tidak dibenar potong gaji, kenakan penalti terhadap pekerja keluar mengundi - SPR | PRN Johor: Majikan diminta beri tempoh munasabah kepada pekerja untuk mengundi Sabtu ini - SPR | 

MIDA, Perodua Perkasa Keupayaan ESG Vendor Automotif Tempatan

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) berganding bahu menganjurkan Sesi Kesedaran Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk vendor automotif tempatan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua organisasi berkenaan menyatakan sesi yang berlangsung di ibu pejabat Perodua di Sungai Choh, Rawang itu menghimpunkan kira-kira 50 vendor Perodua untuk meningkatkan kefahaman terhadap amalan ESG serta menyokong usaha mereka bagi memenuhi keperluan kemampanan global yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata memandangkan ESG menjadi faktor yang semakin penting dalam membuat keputusan pelaburan dan penyumberan, syarikat-syarikat Malaysia terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memperkukuh keupayaan kemampanan mereka untuk kekal berdaya saing di pentas global.

Ad Banner

"Melalui kerjasama kami dengan Perodua, MIDA melengkapkan vendor tempatan dengan pengetahuan, kemudahan dan sokongan kewangan yang diperlukan untuk mempercepat langkah ESG mereka menerusi inisiatif seperti Dana Pemacu Pelaburan Domestik (DIAF) - Penerapan ESG.

"Dengan memperkukuh keupayaan domestik hari ini, kami membantu syarikat-syarikat Malaysia merebut peluang pada masa depan di samping menyokong peralihan negara ke arah ekonomi perindustrian yang lebih mampan dan berdaya tahan," katanya.

DIAF - Penerapan ESG merupakan geran padanan yang diperkenalkan oleh MIDA untuk menyokong PKS dan syarikat pertengahan milik rakyat Malaysia dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan terpilih ketika mereka beralih ke arah amalan ESG.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata keupayaan kemampanan yang lebih kukuh akan membolehkan lebih banyak vendor tempatan mengambil bahagian secara bermakna dalam rantaian bekalan automotif.

"Kami menghargai sokongan berterusan MIDA untuk memacu penerimaan ESG terutamanya dalam kalangan PKS memandangkan keupayaan kemampanan yang lebih kukuh akan membolehkan lebih banyak vendor tempatan menyertai rantaian bekalan automotif.

"Perodua dalam hal ini kekal komited menyokong inisiatif ESG di seluruh ekosistem automotif dan akan terus memimpin melalui teladan dengan menyepadukan prinsip ESG dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke dalam operasi perniagaan serta pembangunan rantaian bekalan kami," katanya.

Kedua-dua organisasi itu memaklumkan program berkenaan dibina berasaskan Program Ekosistem Transformasi Digital (DTE) MIDA-Perodua dengan meluaskan kerjasama melangkaui aspek pendigitalan bagi memperkukuh keupayaan ESG serta menggalakkan amalan perniagaan mampan dalam kalangan vendor tempatan.

"Memandangkan rantaian bekalan global terus berkembang, kemampanan telah menjadi keperluan yang kian penting bagi pengeluar yang ingin kekal berdaya bersaing dan memenuhi jangkaan pasaran antarabangsa," tambahnya.

Program berkenaan turut menampilkan sesi perkongsian industri oleh CEO Emerging EPC Sdn Bhd Dr John Loh yang berkongsi tentang perjalanan transformasi ESG syarikat itu serta manfaat penerimaan ESG, termasuk sokongan yang diterima di bawah DIAF - Penerapan ESG oleh MIDA.

Para peserta turut menghadiri pembentangan oleh Ketua Perkhidmatan ESG Genashtim Sdn Bhd Ee Beng yang berkongsi pendekatan praktikal untuk menyepadukan amalan ESG ke dalam operasi perniagaan serta memperkenalkan rangka kerja Penilaian Impak B (BIA) bagi membantu syarikat menilai, mengukur dan menambah baik prestasi ESG mereka.

Sesi berkenaan diakhiri dengan taklimat oleh MIDA mengenai DIAF - Penerapan ESG, yang menerangkan bantuan kewangan yang tersedia untuk syarikat-syarikat Malaysia, serta kriteria kelayakan dan proses permohonan.

-- BERNAMA