BERITA TERKINI   PRN Johor: Majikan tidak dibenar potong gaji, kenakan penalti terhadap pekerja keluar mengundi - SPR | PRN Johor: Majikan diminta beri tempoh munasabah kepada pekerja untuk mengundi Sabtu ini - SPR | PM Anwar beri perhatian masalah klinik uzur, gangguan bekalan air di Rengit, Johor | PM Anwar nafi beli kenderaan mewah baharu untuk kegunaan sendiri | Kerajaan Persekutuan selesai isu rakyat tidak kira warna politik - PM Anwar | 

MBSB IB Semak Naik Unjur KDNK, Jangka OPR Kekal Pada 2.75 Peratus

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 Malaysia kepada 4.5 peratus, disokong oleh kestabilan pertumbuhan ekonomi dan inflasi yang terkawal.

Tinjauan positif itu dijangka memberi ruang kepada bank pusat untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, sekali gus membolehkan tempoh pengekalan kadar yang berpanjangan.

Dalam nota penyelidikan pada Khamis, MBSB IB menjelaskan unjuran KDNK yang disemak semula itu adalah lebih tinggi daripada unjuran sebelum ini iaitu 4.2 peratus, walaupun pertumbuhan keseluruhan masih dijangka sederhana berbanding pertumbuhan 5.2 peratus yang dicatatkan pada 2025.

Ad Banner

Unjuran tersebut kekal dalam julat pertumbuhan KDNK yang diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2026.

MBSB IB menjelaskan senario paling buruk susulan konflik Asia Barat dilihat telah berakhir.

"Peningkatan unjuran ini menunjukkan momentum separuh pertama yang lebih kukuh daripada jangkaan, didorong oleh lonjakan prestasi eksport baru-baru ini dan permintaan domestik yang stabil.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Asas domestik yang kukuh terus menyokong daya tahan Malaysia terhadap turun naik pasaran luaran. Bagaimanapun, trajektori pertumbuhan negara masih terdedah kepada risiko geopolitik dan ketidaktentuan luaran,” tambahnya.

Bank pelaburan itu memaklumkan bagaimanapun selain ketegangan geopolitik yang meningkat, tarif lebih tinggi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat mungkin menimbulkan risiko penurunan kepada perdagangan luar.

Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) dalam nota penyelidikannya turut senada apabila menjangkakan OPR kekal pada 2.75 peratus sepanjang 2026.

Menurutnya dasar monetari pula berkemungkinan kekal bergantung kepada data, dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM akan datang berpandukan prospek pertumbuhan ekonomi dan trend inflasi.

Asas ekonomi yang berdaya tahan dan tekanan inflasi boleh urus menyokong pendirian dasar yang stabil secara keseluruhannya dan tiada keperluan segera untuk melaraskan dasar, jelasnya.

Bank pelaburan itu menjelaskan bagaimanapun, ketidaktentuan yang berlarutan berkaitan ketegangan geopolitik dan gangguan bekalan minyak yang tidak dijangka di negara pengeluar minyak utama boleh memberi tekanan terhadap harga tenaga global.

“Sekiranya inflasi menjadi lebih tinggi dan berterusan daripada yang dijangkakan, dengan melebihi julat unjuran rasmi 1.5 peratus hingga 2.5 peratus, kemungkinan kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas tidak boleh diketepikan sepenuhnya,” tambah RHB IB.

OCBC Bank pula berpandangan penilaian BNM terhadap pertumbuhan ekonomi mencerminkan keyakinan yang lebih tinggi, memandangkan data aktiviti yang kukuh.

Menurutnya BNM telah menyatakan perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan yang berdaya tahan pada suku kedua, didorong oleh permintaan domestik yang mampan dan prestasi eksport lebih kukuh daripada jangkaan.

“Pertumbuhan pengeluaran perindustrian pada Mei, yang dikeluarkan hari ini, mengukuhkan lagi penilaian ini, iaitu 8.4 peratus tahun ke tahun berbanding 8.2 peratus pada April.

“Ini menjadikan purata pertumbuhan bagi April dan Mei adalah 8.3 peratus tahun ke tahun berbanding 4.0 peratus pada suku pertama 2026,” jelasnya.

-- BERNAMA