BERITA TERKINI   PRN Johor: Poster fizikal kempen tidak gambarkan calon sebenar perlu diturunkan - SPR | PRN Johor: 43,036 petugas digerakkan esok, pastikan proses pengundian teratur | PRN Johor : SPR jangka peratusan keluar mengundi esok capai 70 peratus | 

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat seiring dengan kenaikan semalaman di Wall Street yang diterajui oleh saham teknologi walaupun terdapat ketidaktentuan di Asia Barat. 

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat lapan mata atau 0.48 peratus kepada 1,685.64 daripada 1,677.64 semasa ditutup pada Khamis.

Ad Banner

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 5.14 mata kepada 1,682.78.

Pasaran secara menyeluruh positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 208 berbanding 85 manakala 279 kaunter tidak berubah, 2,144 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 127.16 juta saham bernilai RM70.78 juta.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street kembali mencatatkan kenaikan semalaman, disokong oleh saham teknologi dan harga minyak mentah yang rendah.

Beliau berkata minyak mentah Brent menurun kepada kira-kira US$76 setong selepas laporan bahawa pihak pengantara sedang berusaha membawa Amerika Syarikat dan Iran kembali ke meja rundingan.

“Dalam negara, kami percaya pelabur terus mengambil pendekatan tunggu dan lihat dengan tumpuan utama adalah pada pilihan raya negeri Johor yang akan berlangsung hujung minggu ini.

“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI berada antara 1,675 dan 1,685 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 10 sen kepada RM10.96, Public Bank naik satu sen kepada RM4.86, CIMB menambah empat sen kepada RM7.64, IHH Healthcare menokok lima sen kepada RM8.37 manakala Tenaga Nasional mendatar pada RM14.30.

Bagi saham aktif, SRKK AI, Aemulus dan Zetrix AI, masing-masing meningkat 1.5 sen kepada 62.5 sen, 32.5 sen dan 74 sen, SMRT naik satu sen kepada 20 sen manakala MAG kekal tidak berubah pada 17.5 sen.

Kaunter paling untung ialah Malaysian Pacific Industries menambah 34 sen kepada RM46.60, Allianz Malaysia meningkat 18 sen kepada RM21.30, Hong Leong Industries dan Nestle, masing-masing meningkat 10 sen kepada RM18.74 dan RM91.40.

KKB Engineering mendahului senarai kaunter paling rugi, iaitu menurun tujuh sen kepada RM1.21, United Plantations merosot enam sen kepada RM34.34, Kelington berkurangan lima sen kepada RM7.93, Hibiscus Petroleum menyusut tiga sen kepada RM1.99 dan Petronas Chemicals menurun dua sen kepada RM4.33.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 55.34 mata kepada 12,495.82, Indeks FBMT 100 meningkat 57.09 mata kepada 12,325.19 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 50.37 mata kepada 12,330.65.

Indeks FBM 70 menambah 76.78 mata kepada 17,874.42 dan Indeks FBM ACE naik 10.64 mata kepada 4,901.73.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 91.92 mata kepada 19,920.0, Indeks Perladangan meningkat 42.45 mata kepada 9,119.43 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.41 mata kepada 181.07. Indeks Tenaga menurun 0.11 mata kepada 773.85.

-- BERNAMA