Pasaran Getah Cenderung Menurun Susulan Konflik Asia Barat, Gangguan Bekalan
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka diniagakan dengan berhati-hati dan cenderung menyusut pada minggu depan berikutan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat, permintaan yang lemah serta gangguan bekalan akibat faktor cuaca.
Pakar industri Denis Low berkata kegagalan gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah mendorong harga minyak mentah meningkat sehingga mencecah US$78 setong, sekali gus menambah ketidaktentuan dalam pasaran komoditi.
"Situasi geopolitik semasa menyebabkan harga sesetengah komoditi melonjak melebihi jangkaan, manakala sebahagian lagi tertekan. Ketidaktentuan harga minyak dan gas memberi cabaran besar kepada perniagaan.
"Pada masa sama, turun naik mendadak nilai dolar AS turut berpotensi menjejaskan imbangan pembayaran," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata cuaca yang tidak menentu di beberapa kawasan pengeluar getah terus mengganggu aktiviti penorehan, menyebabkan sebahagian pekebun beralih kepada pengeluaran getah kering berbanding lateks pukal.
"Bagaimanapun, permintaan yang kekal stabil membantu mengimbangi kekurangan bekalan akibat hujan," katanya.
Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan Taufan Bavi tidak akan memasuki negara itu, namun dijangka menguatkan hujan monsun yang membawa hujan lebat hingga sangat lebat di wilayah selatan, tengah dan timur Thailand.
Di Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia turut meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di enam negeri serta Wilayah Persekutuan Labuan sepanjang minggu depan.
Sementara itu, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menjangkakan pasaran getah disokong oleh harga pengeluar yang lebih kukuh di China serta bekalan yang kekal terhad di negara pengeluar utama getah asli, khususnya Thailand, susulan ramalan hujan lebat.
"Namun, potensi kenaikan harga dijangka terbatas selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Pembangunan Asia (ADB) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global berikutan ketegangan berterusan di Asia Barat dan peningkatan pemecahan perdagangan global.
"Selain itu, harga minyak dijangka terus dipengaruhi perkembangan konflik AS-Iran, sekali gus mengehadkan momentum kenaikan pasaran getah," menurut MARGMA.
-- BERNAMA