Niaga Hadapan KLCI Diunjur Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu berikutan pelabur memantau perkembangan di Asia Barat serta kemungkinan impaknya terhadap pasaran global.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang tidak menentu dijangka menyebabkan pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati walaupun sentimen terhadap saham teknologi semakin baik.
"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,680-1,710, dengan minat belian dijangka kekal selektif dan tertumpu kepada syarikat yang mempunyai asas kukuh dan prospek pendapatan yang berdaya tahan," katanya.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan pula turut menjangkakan indeks petunjuk pasaran itu mengukuh dalam julat 1,680 hingga 1,710 mata minggu depan, disokong oleh aliran masuk modal yang lebih baik serta asas ekonomi domestik yang stabil.
"Bagaimanapun, pergerakan melepasi paras 1,700 hingga 1,710 mata dijangka memerlukan bukti yang lebih jelas bahawa pertumbuhan ekonomi global adalah berdaya tahan di samping ketegangan geopolitik yang terus mereda di Asia Barat," katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, kontrak niaga hadapan FBM KLCI ditutup kebanyakannya tinggi.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak Julai 2026 dan September 2026 masing-masing meningkat 12.5 mata kepada 1,699.50 dan 1,681.0 manakala Ogos 2026 naik 12.0 mata kepada 1,701.0 dan Disember 2026 menokok 13.0 mata kepada 1,683.0.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 28,350 lot berbanding 61,231 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka turun kepada 31,668 kontrak daripada 33,787 kontrak sebelum ini.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, indeks petunjuk pasaran meningkat 12.44 mata kepada 1,691.49 daripada 1,679.05 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA