Sarawak Tubuh Zon Ekonomi Sibu, Peruntuk RM1.5 Bilion Bagi Pacu Transformasi -- Abang Johari
SIBU, 11 Julai (Bernama) -- Sarawak akan mewujudkan Zon Ekonomi Sibu (SEZ) dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi menyelaras pembangunan ekonomi Sibu secara lebih menyeluruh dan bersepadu, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ketika mengumumkan perkara itu hari ini, beliau berkata kerajaan negeri Sarawak secara dasarnya bersetuju dengan penubuhan agensi khsus itu yang akan menjadi pemacu pembangunan ekonomi Sibu yang lebih kompleks dengan melibatkan pelbagai sektor, berbanding hanya tumpuan kepada aspek tertentu.
"Saya bersetuju mewujudkan satu agensi agensi pembangunan khusus iaitu Zon Ekonomi Sibu kerana pembangunan ekonominya agak kompleks.
“Untuk permulaan, saya akan memasukkan peruntukan RM1.5 bilion dalam belanjawan negeri yang baharu," kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang Bahagian Sibu 2026 di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Abang Johari berkata penubuhan SEZ itu juga bagi menyelaras pembangunan ekonomi Sibu yang lebih sistematik dengan menumpukan usaha menarik pelaburan, memperkukuh sektor perkhidmatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Beliau berkata projek Jalan Utama Kedua yang dijadual siap pada 2029 juga dijangka menjadi pemangkin pembangunan Sibu apabila tempoh perjalanan antara Kuching dan Sibu dapat dipendekkan kepada kira-kira dua jam.
Peningkatan hubungan darat itu akan menjadikan Sibu lebih menarik kepada industri berasaskan perkhidmatan, termasuk sektor kewangan dan insurans, katanya.
Abang Johari juga menyifatkan penubuhan SEZ sebagai melengkapkan pelaksanaan pelan induk pembangunan semula Sibu yang dirancang untuk dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 15 hingga 20 tahun.
Terdahulu, cadangan penubuhan sebuah badan khas bagi memacu pembangunan ekonomi Sibu telah disuarakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee pada majlis sama.
Dr Annuar berkata ini sejajar kepentingan tenaga mahir serta memastikan Sibu kekal sebagai pusat pertumbuhan utama di Zon Tengah Sarawak manakala peluang pekerjaan berkualiti dan aktiviti ekonomi baharu perlu diperkukuh bagi menarik golongan profesional kembali berkhidmat di Sibu.
"Kita tidak mahu Sibu menjadi sebuah bandar menua kerana didiami warga emas berikutan (berlakunya) penghijrahan tenaga mahir. Kita perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi supaya mereka kembali menyumbang kepada pembangunan Sibu," katanya.
-- BERNAMA