Kerajaan Disaran Perluas Potongan Cukai Bagi Insurans Penjagaan Jangka Panjang
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan disaran memperluas skop potongan cukai bagi menggalakkan penawaran produk insurans penjagaan jangka panjang, sekali gus membantu meringankan beban keluarga yang menjaga warga emas.
Pegawai Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia (UPM), Chai Sen Tyng berkata insentif cukai boleh diberikan kepada sektor insurans swasta bagi menggalakkan pengenalan produk berkenaan.
Beliau berkata langkah itu boleh dilaksanakan melalui peluasan kemudahan potongan cukai sedia ada yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang ketika ini hanya meliputi insurans nyawa dan insurans kesihatan.
“Jadi, jika kita memperluas skop potongan cukai itu atau memberikan bantuan kepada penjaga keluarga berpendapatan rendah, mungkin beban keluarga dalam penjagaan warga emas dapat diringankan,” katanya dalam rancangan Kanta Niaga terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.
Dalam pada itu, Chai berkata potensi ekonomi penjagaan di Malaysia masih belum diteroka sepenuhnya meskipun negara ini terkenal sebagai destinasi persaraan.
Katanya, potensi itu boleh dikembangkan melalui inisiatif seperti visa persaraan atau visa penjagaan jangka panjang bagi menarik warga emas mendapatkan perkhidmatan penjagaan di Malaysia.
“Jadi, ia boleh menjadi seperti pelancongan perubatan, tetapi di Malaysia kita masih belum menyusun pendekatan supaya semua aspek bergerak serentak.
“Namun, potensi ini masih ada dan industri tempatan juga kuat serta mampu menawarkan perkhidmatan dan penjagaan kepada warga emas,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata keutamaan dalam penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas adalah memastikan perundangan berkenaan dapat dikuatkuasakan dengan berkesan bagi menjamin perlindungan golongan itu.
Katanya, Malaysia memerlukan perundangan khusus untuk melindungi warga emas daripada penderaan dan penipuan, berdasarkan data kajian serta statistik sedia ada.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semestinya sedang mendapatkan pandangan orang awam dan pihak berkepentingan, selain menambah baik draf perundangan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Chai berkata usaha memprofesionalkan tenaga kerja penjagaan warga emas boleh dimulakan dalam jangka pendek dengan memanfaatkan pusat latihan dan pusat pentauliahan sedia ada di Malaysia.
Beliau berkata aspek pendaftaran, pentauliahan, pensijilan dan latihan pekerja penjagaan perlu diberikan perhatian bagi memastikan mereka mempunyai kelayakan serta kemahiran yang bersesuaian.
“Untuk memprofesionalkan sesuatu bidang pekerjaan, kita perlu melihat aspek pentauliahan, pensijilan dan latihan. Kita juga perlu memastikan pekerja penjagaan ini berdaftar supaya dapat dikenal pasti sebagai pekerja yang terlatih,” katanya.
Beliau berkata Malaysia juga boleh memanfaatkan kemudahan sedia ada, termasuk pusat latihan belia, universiti dan kolej komuniti, sementara perancangan jangka panjang seperti penubuhan pusat penyelidikan dan latihan untuk penjaga dilaksanakan.
-- BERNAMA