BERITA TERKINI   Bantuan khas kewangan RM1,000 manfaatkan sekitar 38,000 pemandu teksi, kereta sewa dan 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara – PM Anwar | Kerajaan sediakan bantuan khas kewangan RM1,000 kepada setiap pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang penuhi kriteria ditetapkan - PM Anwar | Selangor bukan destinasi untuk tanah atau tenaga kerja murah, sebaliknya bagi perkongsian jangka panjang dan kumpulan pekerja berintelektual dan berinovasi  -- Menteri Besar Selangor | Akta Perkhidmatan Parlimen 2025: Kerajaan harap kebebasan, bidang kuasa Parlimen yang baharu dapat tingkat profesionalisme, adab perbahasan - PM Anwar | Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen tunai janji reformasi, mematangkan demokrasi negara - PM Anwar | 

KL20: Malaysia Sasar Pelaburan Modal Teroka RM700 Juta Menjelang 2030 -- Akmal Nasrullah

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Malaysia menyasarkan nilai pelaburan kalangan pelabur modal teroka mencecah sekitar RM700 juta selain pertambahan kira-kira 2,000 hingga 3,500 syarikat pemula aktif menjelang 2030 menerusi pelaksanaan inisiatif KL20.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata KL20 merupakan ikhtiar dan inisiatif strategik kerajaan untuk memperkukuh ekosistem syarikat pemula dalam negara serta meletakkan Malaysia dalam kelompok 20 teratas dunia bagi aspek berkenaan.

Ad Banner

“Indikator-indikator ini akan terus menjadi panduan untuk kita meningkatkan keupayaan syarikat pemula kita,” katanya kepada kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “KL20 2026: Membina Ekosistem, Membuka Peluang Global" pada malam Selasa.

Akmal Nasrullah juga menekankan usaha membangunkan ekosistem itu turut memerlukan sokongan serta penglibatan sektor modal serta pasaran bagi membolehkan pengasas meningkatkan aspek skala dan nilai ciptaan masing-masing.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

KL20@Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung pada 19 Okt ini di The Campus Ampang, Selangor, akan memberi tumpuan kepada penskalaan syarikat pemula dari seluruh negara melalui akses kepada modal, rakan strategik serta pasaran global, kata beliau.

"Acara itu menyusuli penganjuran KL20@Penang yang mengetengahkan automasi, reka bentuk cip silikon dan rantaian semikonduktor termaju serta KL20@Johor yang memfokuskan Ekonomi Jingga, termasuk kandungan digital, animasi dan permainan video.

"Siri Kuala Lumpur pula akan mengetengahkan lapan sektor fokus iaitu tenaga dan teknologi hijau, ekonomi kreatif, teknologi pertanian, ekonomi digital, pembuatan dan automasi, permainan video, kewangan Islam serta sektor ketiga," katanya.

Menyentuh fokus KL20, beliau berkata antara lainnya adalah bagi membantu lebih banyak syarikat pemula memperoleh pembiayaan peringkat seterusnya, membangunkan syarikat pemula berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta mengkomersialkan hasil penyelidikan.

"Inilah fokus KL20 supaya Malaysia bukan sahaja melahirkan syarikat pemula, tetapi syarikat pemula yang mampu bersaing di persada dunia.

"Dalam gambaran lebih besar, KL20 adalah enjin pelaksanaan agenda syarikat pemula negara. KL20 menyelaras pelbagai pelan seperti Pelan Hala Tuju Ekosistem Start-up Malaysia 2021-2030 (SUPER) dan Pelan Hala Tuju Modal Teroka Malaysia (MVCR) supaya kementerian dan agensi bergerak secara bersepadu," katanya.

Menurutnya, bagi pengasas dan syarikat pemula, acara Kuala Lumpur itu menjadi platform dari segi peluang bertemu secara langsung dengan pelabur, syarikat korporat dan agensi selain memberi kesempatan untuk pelabur meninjau syarikat pemula terbaik negara.

Beliau turut memetik Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Global 2026 yang menunjukkan nilai ekosistem syarikat pemula Kuala Lumpur meningkat hampir dua kali dalam tempoh setahun iaitu daripada US$4.8 bilion kepada US$9.0 billion manakala skor bakat Malaysia turut meningkat dan syarikat pemula tempatan mencapai “exit” dalam tempoh purata 8.8 tahun -- lebih pantas berbanding purata serantau dan global.

Untuk rekod, langkah “exit” itu merujuk kepada strategi keluar pelaburan yang membolehkan pengasas atau pelabur merealisasikan nilai pegangan mereka seperti menerusi penjualan syarikat kepada pihak lain atau penyenaraian saham di pasaran awam.

-- BERNAMA