Populasi Menua Bakal Pacu Permintaan Farmaseutikal Malaysia - MBSB IB
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Peralihan demografi dijangka memacu permintaan farmaseutikal yang lebih tinggi memandangkan Malaysia diunjurkan menjadi negara menua menjelang 2036 dipacu oleh jangka hayat yang lebih tinggi dan kadar kelahiran yang kian menurun, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Dalam satu nota penyelidikan, MBSB IB menyatakan apabila populasi semakin menua, kadar penyakit tidak berjangkit (NCD) meningkat secara mendadak sekali gus mewujudkan permintaan berstruktur yang kekal bagi terapi farmaseutikal berbanding lonjakan permintaan bersifat sementara.
"Maka, syarikat farmaseutikal digalakkan beralih daripada penjagaan akut jangka pendek (seperti antibiotik dan analgesik) kepada ubat-ubatan kawalan jangka panjang untuk kesihatan kardiovaskular, metabolik, onkologi dan geriatrik.
“Selain itu, pengurusan pelbagai penyakit kronik dalam kalangan pesakit warga emas akan memacu pertumbuhan jumlah permintaan yang berterusan di sektor kesihatan awam dan swasta sekali gus merangsang permintaan terhadap biologik, biosimilar dan terapi bersasar,” katanya.
Sehubungan itu, MBSB IB memberitahu pihaknya kekal optimis terhadap subsektor farmaseutikal berikutan hala tuju yang lebih jelas ke arah keterjaminan ubat-ubatan pada masa hadapan.
“Lebih penting, pemain farmaseutikal tempatan, pengilang kontrak dan penyedia logistik penjagaan kesihatan merupakan pihak yang paling mendapat manfaat komersial utama daripada perubahan dasar makroekonomi itu,” katanya.
MBSB IB bagaimanapun mengekalkan saranan “positif” terhadap sektor penjagaan kesihatan.
-- BERNAMA