Belanjawan 2027 Perkukuh Daya Tahan, Perubahan Sektor Sarung Tangan Getah – MARGMA
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).
Presidennya Oon Kim Hung berkata persatuan itu menyambut baik langkah yang menggalakkan automasi, pendigitalan, inovasi dan pembuatan mampan yang penting untuk mengekalkan daya saing Malaysia dalam persekitaran global yang semakin mencabar.
“MARGMA menyokong usaha kerajaan untuk mempercepat penerimagunaan teknologi pembuatan termaju, meningkatkan keupayaan tenaga kerja dan memacu pertumbuhan produktiviti.
“Insentif pelaburan dan sokongan automasi yang berterusan amat penting dalam membantu pengilang menguruskan peningkatan kos operasi sambil mengekalkan daya saing di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Industri sarung tangan getah kekal sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara memandangkan sektor ini merupakan antara sektor pembuatan berorientasikan eksport utama Malaysia.
Nilai eksportnya melebihi RM7 bilion pada separuh pertama 2026, merangkumi kira-kira 66 peratus daripada jumlah eksport produk getah negara.
Oon memberitahu persatuan itu turut menyambut baik usaha untuk memperkukuh ekosistem getah asli dan meningkatkan taraf hidup pekebun kecil.
“Dasar yang dilaksanakan perlu terus memastikan bekalan lateks getah asli kekal mampu diperoleh pada harga berpatutan, stabil dan berdaya saing bagi pengilang hiliran sekali gus menyokong pertumbuhan mampan di sepanjang rantaian nilai,” katanya.
Pada 9 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) buat kali ketiga bagi pekebun kecil getah.
Kadar itu akan dinaikkan kepada RM3.30 sekilogram yang akan memanfaatkan lebih 300,000 pekebun kecil.
Sementara itu, Oon berkata MARGMA menggesa supaya beban kos khusus industri termasuk levi eksport ke atas sarung tangan getah, dikaji semula bagi meningkatkan lagi daya saing Malaysia.
Beliau memberitahu pengurangan kos yang tidak perlu akan memperkukuh keupayaan industri untuk menarik pelaburan, mengembangkan eksport dan mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pasaran sarung tangan global.
“MARGMA juga menggalakkan kerajaan meneruskan sokongan dalam menangani halangan perdagangan antarabangsa dan cabaran akses pasaran yang dihadapi pengeksport Malaysia, bagi memastikan persaingan yang adil dalam pasaran global serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan penjagaan kesihatan antarabangsa.
“Kami bersedia bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta pihak berkepentingan lain untuk merangka dasar yang menggalakkan pelaburan semula, memperkukuh daya saing dan menyokong pertumbuhan jangka panjang industri sarung tangan getah Malaysia,” kata Oon.
-- BERNAMA