BERITA TERKINI   Bantuan khas kewangan RM1,000 manfaatkan sekitar 38,000 pemandu teksi, kereta sewa dan 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara – PM Anwar | Kerajaan sediakan bantuan khas kewangan RM1,000 kepada setiap pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang penuhi kriteria ditetapkan - PM Anwar | Selangor bukan destinasi untuk tanah atau tenaga kerja murah, sebaliknya bagi perkongsian jangka panjang dan kumpulan pekerja berintelektual dan berinovasi  -- Menteri Besar Selangor | Akta Perkhidmatan Parlimen 2025: Kerajaan harap kebebasan, bidang kuasa Parlimen yang baharu dapat tingkat profesionalisme, adab perbahasan - PM Anwar | Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen tunai janji reformasi, mematangkan demokrasi negara - PM Anwar | 

Pelabur Di Malaysia Perlu Dinilai Berdasarkan Kualiti Pekerjaan, Layanan Terhadap Wanita

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pelabur di Malaysia perlu dinilai berdasarkan kualiti pekerjaan yang diwujudkan serta cara mereka melayan pekerja, khususnya wanita, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata gaji yang setimpal, tempat kerja yang selamat dan aturan kerja fleksibel perlu dijadikan kriteria utama dalam menentukan kualiti sesuatu pelaburan.

“Pelabur yang ingin melabur di Malaysia perlu dinilai berdasarkan cara mereka melayan wanita yang bekerja dengan mereka.

Ad Banner

"Pekerjaan yang baik, gaji yang setimpal, tempat kerja yang selamat dan aturan kerja fleksibel, semua ini bukanlah satu keistimewaan yang diberikan. Sebaliknya, inilah piawaian baharu bagi pelaburan berkualiti,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Wanita Tahunan dan G100 Global Meet 2026 di sini hari ini.

 Memetik kajian McKinsey, Tengku Zafrul berkata usaha meningkatkan kesaksamaan wanita berpotensi menyumbang US$4.5 trilion setahun kepada ekonomi Asia Pasifik, dengan Malaysia berpotensi meraih manfaat kira-kira US$50 bilion setahun, bersamaan sekitar lapan peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Beliau berkata penyertaan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja, di samping akses yang sama rata kepada modal dan pasaran bagi usahawan wanita, akan memperluas keupayaan produktif ekonomi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Apabila lebih ramai wanita menyertai dan kekal dalam tenaga kerja, usahawan wanita mendapat akses sama rata kepada modal dan pasaran serta wanita yang berbakat berpeluang memegang jawatan kepimpinan kanan, kita memperluas keupayaan produktif seluruh ekonomi.

“Kita juga memperbesar kumpulan idea, kemahiran dan keusahawanan yang menjadi asas kepada pertumbuhan,” katanya.

Beliau berkata kadar penyertaan tenaga buruh wanita Malaysia mencecah paras tertinggi sebanyak 56.6 peratus pada akhir 2025, namun ramai wanita meninggalkan alam pekerjaan selepas tamat pengajian berikutan kurangnya sokongan penjagaan anak serta tanggungjawab menjaga ahli keluarga.

Wanita juga sering perlu mengimbangi kerjaya dengan tanggungjawab menjaga anak dan ibu bapa yang semakin berusia, sekali gus menunjukkan keperluan menangani halangan tersebut bagi membolehkan lebih ramai wanita kekal aktif dalam kegiatan ekonomi, kata beliau.

Pemerkasaan wanita penting untuk merealisasikan potensi ekonomi Malaysia, khususnya ketika negara-negara bersaing mendapatkan bakat, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh inovasi.

Dalam dunia yang menyaksikan setiap negara bersaing untuk mendapatkan bakat, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh inovasi, mengetepikan golongan wanita bukan sahaja tidak adil, malah tidak rasional dari sudut ekonomi, katanya.

-- BERNAMA