BERITA TERKINI   Selangor bukan destinasi untuk tanah atau tenaga kerja murah, sebaliknya bagi perkongsian jangka panjang dan kumpulan pekerja berintelektual dan berinovasi  -- Menteri Besar Selangor | Akta Perkhidmatan Parlimen 2025: Kerajaan harap kebebasan, bidang kuasa Parlimen yang baharu dapat tingkat profesionalisme, adab perbahasan - PM Anwar | Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen tunai janji reformasi, mematangkan demokrasi negara - PM Anwar | Pelabur di Malaysia perlu dinilai berdasarkan kualiti pekerjaan yang diwujudkan dan layanan mereka terhadap pekerja, terutamanya wanita - Tengku Zafrul | Malaysia, Indonesia bincang kerjasama tangani kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan -- Mohamad Hasan | 

Battersea Power Station Peroleh Pinjaman Pembiayaan Semula £280 Juta

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Battersea Power Station Development Company memperoleh kemudahan pembiayaan semula bernilai £280 juta (£1=RM5.41) bagi menyokong pembangunan berterusan baki 6.47 hektar daripada kawasan kejiranan tebing sungai seluas 17 hektar itu.

Ia sekali gus menyediakan asas kewangan yang kukuh untuk pelaksanaan fasa seterusnya projek itu.

Menurut syarikat berkenaan, kemudahan pembiayaan yang diperoleh daripada CIMB, OCBC, Maybank dan Standard Chartered mencerminkan keyakinan pemberi pinjaman terhadap rekod prestasi Battersea Power Station yang terbukti dalam melaksanakan projek.

Ad Banner

Selain itu, turut menyumbang kematangan komersialnya serta kesediaannya untuk meneruskan fasa pembangunan seterusnya.

“Dalam keadaan pasaran hartanah yang lebih perlahan, sokongan berterusan daripada pemberi pinjaman kami mencerminkan keyakinan terhadap perubahan yang dicapai setakat ini.

"Daripada pemulihan bangunan stesen janakuasa yang pernah terbiar dan tersenarai sebagai bangunan warisan Gred II kepada pembangunan kawasan kejiranan tebing sungai yang berkembang pesat serta potensi yang masih tersedia pada masa hadapan,” kata Ketua Pegawai Kewangannya Siew Chee Seng dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut Siew, kejayaan memperoleh kemudahan pembiayaan semula itu menandakan satu lagi langkah penting bagi projek yang terletak di selatan Sungai Thames itu.

Kenyataan itu juga menyebut syarikat berkenaan baru-baru ini mengemukakan pelan induk yang disemak semula bagi baki tanah yang belum dibangunkan.

Ia turut menyatakan bahawa Studio Egret West, firma terkenal dalam perancangan induk, reka bentuk bandar dan seni bina landskap, mencadangkan pembangunan ruang kediaman, komersial dan riadah seluas sehingga 297,289.728 meter persegi iaitu hampir dua kali ganda keluasan pembangunan yang disiapkan setakat ini.

Kenyataan itu menambah kerja-kerja pembangunan Prospect Place South sedang berjalan.

Projek itu akan merangkumi kira-kira 300 unit kediaman, ruang komersial seluas 6,038.6976 meter persegi dan hab komuniti seluas 1,393.5456 meter persegi.

Kebenaran merancang turut diberikan bagi pembinaan 200 unit perumahan pihak berkuasa tempatan dalam Fasa 5 pembangunan itu.

Unit-unit berkenaan akan ditawarkan pada kadar sewa sosial. Pembinaan dijangka bermula pada awal 2027, menurut kenyataan berkenaan.

Battersea Power Station dibangunkan semula menjadi kawasan kejiranan guna tanah bercampur yang meriah serta destinasi bertaraf antarabangsa untuk didiami, bekerja dan beriadah dengan pelaburan berjumlah lebih £5 bilion setakat ini.

-- BERNAMA