Perdagangan Halal Malaysia-Indonesia Dijangka Cecah Lebih US$29 Bilion Pada 2026
Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 12 Julai (Bernama) -- Perdagangan dua hala Malaysia-Indonesia dijangka meningkat 10 peratus kepada US$29.3 bilion (US$1 = RM4.07) pada tahun ini, disokong oleh kerjasama yang semakin meningkat dalam sektor halal selain akses pasaran lebih meluas antara kedua-dua negara.
Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Farzamie Sarkawi berkata unjuran pertumbuhan itu turut memaparkan pengukuhan kerjasama dua hala dalam sektor halal yang telah meningkatkan lagi kerjasama perdagangan, pelaburan dan pembangunan modal insan sepanjang tiga tahun lepas.
Beliau berkata kerjasama di bawah Memorandum Kerjasama (MoC) halal kedua-dua negara yang dimeterai pada 2023, turut mewujudkan peluang lebih besar bagi kedua-dua negara memperdalam kerjasama yang merentasi pelbagai sektor.
“Ini termasuk kerjasama perdagangan, pelaburan dan modal insan menerusi pertukaran kepakaran, latihan dan inisiatif lain,” katanya kepada Bernama.
Farzamie berkata sejak pelaksanaannya, kerjasama dua hala itu terbukti mencatat perkembangan positif dengan pengiktirafan bersama pensijilan halal antara Malaysia dan Indonesia yang memudahkan pergerakan produk selain meningkatkan akses pasaran bagi perniagaan di dua negara itu.
Sejajar dengan jumlah perdagangan mencecah US$26.61 bilion pada 2025 atau peningkatan 5.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, beliau berkata prestasi kukuh perdagangan dua hala itu mencerminkan kemajuan positif kerjasama Malaysia-Indonesia serta menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan seterusnya pada tahun ini.
Bagi tempoh sepanjang 2025, beliau berkata perdagangan dalam segmen produk makanan dan minuman berkaitan halal juga terbukti kekal kukuh dengan eksport makanan diproses Malaysia ke Indonesia meningkat 18.5 peratus tahun ke tahun kepada US$640 juta, didorong oleh serbuk koko, krimer bukan tenusu, susu isian, produk coklat serta penyediaan bahan perisa.
Selain itu, import makanan diproses Malaysia dari Indonesia meningkat 10.8 peratus pada 2025 kepada US$840 juta, dipacu oleh produk seperti santan, pes koko, mi segera dan bihun.
Farzamie berkata Indonesia juga kekal sebagai pembekal utama bahan mentah dan ramuan berkaitan halal kepada Malaysia dengan import produk berasaskan minyak sawit yang mencecah US$2.34 bilion manakala import minyak sawit serta produk pertanian berasaskan minyak sawit berjumlah US$1.14 bilion dan menyokong industri pemprosesan makanan halal, ramuan, kosmetik dan penjagaan diri Malaysia.
Dalam pada itu, seiring dengan kehadiran negara anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8) pada acara Ekspo Halal D-8 Indonesia pada tahun ini, beliau berkata Malaysia berharap dapat memanfaatkan momentum kerjasama halal dengan Indonesia menerusi peningkatan kerjasama ke seluruh blok berkenaan.
Beliau berkata penyertaan Malaysia dalam acara lima hari itu yang berakhir pada Ahad, telah diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Tourism Malaysia dan bertujuan menghubungkan keupayaan halal negara dengan peluang dalam pasaran D-8.
“Ekspo itu menjadi platform pengukuhan kerjasama dalam perdagangan halal, pelaburan, jaringan perniagaan serta pembangunan rantaian nilai halal serantau dalam kalangan negara anggota D-8,” katanya.
Perdagangan dalam kalangan atau intra D-8 kini mencecah kira-kira US$150 bilion hingga US$160 bilion setahun dan blok berkenaan menyasarkan untuk meningkatkan angka berkenaan kepada US$500 bilion menjelang 2030 menerusi kerjasama ekonomi lebih mendalam, termasuk menerusi pengukuhan integrasi industri halal, kata beliau.
-- BERNAMA