IPPFA Naikkan Unjuran Pertumbuhan KDNK 2026 Malaysia Kepada 5.4 Peratus
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Firma penasihat kewangan IPPFA Sdn Bhd menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 5.4 peratus daripada 4.6 peratus sebelumnya.
IPPFA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan ini susulan prestasi ekonomi Malaysia yang lebih kukuh daripada jangkaan pada separuh pertama 2026 dan penilaian semula dinamik pertumbuhan asas ekonomi negara.
Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA, Mohd Sedek Jantan berkata ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026 dan 6.0 peratus pada suku kedua, sekali gus menjadikan pertumbuhan separuh pertama pada kira-kira 5.7 peratus.
"Prestasi kukuh ini memberangsangkan memandangkan ketidakpastian geopolitik yang berterusan, harga tenaga yang lebih tinggi dan persekitaran kadar faedah global yang tidak berganjak.
“Unjuran yang dinaikkan itu bukan semata-mata bersandarkan kepada pertumbuhan 6.0 peratus yang dicatatkan pada suku kedua 2026. Kemajuan yang lebih penting ialah Malaysia menunjukkan tahap daya tahan ekonomi yang lebih tinggi daripada yang diandaikan sebelum ini,” katanya.
Mohd Sedek berkata pertumbuhan dicatatkan merentasi eksport, pelaburan dan permintaan domestik, menyediakan asas kukuh kepada ekonomi untuk melangkah ke separuh kedua tahun ini.
Walaupun IPPFA tidak menjangkakan Malaysia akan mengekalkan kadar pertumbuhan 6.0 peratus yang dicatatkan pada suku kedua namun pertumbuhan diunjurkan sederhana kepada 5.1 peratus pada suku ketiga dan 4.8 peratus pada suku keempat 2026, mencerminkan normalisasi dalam permintaan luaran dan kesan asas.
Beliau berkata pelaburan kekal sebagai satu lagi tonggak penting dalam tinjauan yang disemak semula itu.
“Walaupun kadar pembentukan modal tetap kasar menyederhana pada suku kedua, komposisi pelaburan kekal menyokong, terutamanya dalam jentera dan peralatan, teknologi maklumat dan komunikasi, pusat data dan aktiviti pengembangan kapasiti yang lain,” kata Mohd Sedek.
Justeru, katanya, IPPFA telah menurunkan unjuran inflasi 2026 kepada 1.9 peratus daripada 2.2 peratus sebelumnya, memandangkan inflasi keseluruhan dan teras kekal terkawal, dengan inflasi Julai sekitar 1.8 peratus.
"Risiko selebihnya tertumpu terutamanya pada makanan, tenaga dan harga yang dikawal selia dan bukannya pada kitaran inflasi yang didorong oleh permintaan yang meluas. Ini penting untuk dasar monetari kerana komposisi pertumbuhan penting untuk dorongan inflasi," katanya.
Beliau berkata firma itu juga telah menyemak semula unjuran akhir tahun 2026 bagi dolar AS-ringgit kepada 4.02 daripada 4.05 berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, pendapatan eksport berdaya tahan, inflasi terkawal dan asas luaran yang bertambah baik.
"Eksport yang lebih kukuh menyediakan sumber pendapatan pertukaran asing yang konsisten, manakala pelaburan dalam pembuatan, infrastruktur digital dan aktiviti berkaitan mengukuhkan kapasiti produktif Malaysia," katanya.
Mengenai FTSE Bursa Malaysia KLCI, Mohd Sedek berkata IPPFA telah menyemak semula unjuran akhir 2026 kepada 1,800 daripada 1,780, susulan asas ekonomi domestik yang lebih kukuh dan keterlihatan pendapatan yang bertambah baik.
-- BERNAMA