Liew Cadang Pusat Sehenti Biayai Semikonduktor, Teknologi Mendalam
KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong mencadangkan supaya Malaysia menubuhkan pusat sehenti bagi pembiayaan sektor semikonduktor dan teknologi mendalam (deep tech) yang menawarkan penyelesaian pembiayaan bersepadu di hab teknologi negara.
Beliau berkata inisiatif itu mampu menjadikan kluster teknologi negara sebagai Lembah Silikon (Silicon Valley) Malaysia dengan merapatkan jurang antara pembangunan teknologi mendalam dan pembiayaan.
"Hasrat kami ialah menjadikan Pulau Pinang dan Kulim sebagai kluster teknologi bertaraf dunia yang setanding dengan Silicon Valley di Amerika Syarikat, Hsinchu di Taiwan dan Brainport Eindhoven di Belanda," katanya.
Menurut beliau, pusat sehenti itu boleh menyokong pembangunan keseluruhan ekosistem industri dan bukan hanya syarikat tertentu, sekali gus menggalakkan pelabur menyokong pembangunan ekosistem teknologi negara yang berteraskan tadbir urus baik serta keyakinan terhadap rangka kerja peraturan Malaysia.
"Justeru, saya ingin mengajak pemain industri, peserta pasaran modal serta pihak pengawal selia berkongsi pandangan mengenai cadangan ini," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium The Edge-HSBC E&E 2026: The Value Chain Shift, di sini hari ini.
Liew turut menggesa pasaran modal melihat Malaysia sebagai sebuah negara teknologi dan bukan sekadar negara perdagangan, selain memberi perhatian yang lebih serius terhadap saham syarikat teknologi tempatan.
Beliau turut mengajak komuniti modal teroka dan ekuiti persendirian melabur dalam aktiviti huluan, termasuk reka bentuk dan harta intelek yang menawarkan nilai tambah lebih tinggi.
"Pada masa sama, institusi pasaran perlu membantu mempertingkat kecairan pasaran, memperluas liputan penarafan serta merangsang pertumbuhan sektor semikonduktor," katanya.
Menurut Liew, produk elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah eksport negara, sekali gus menjadi penyumbang terbesar mengikut kategori eksport.
Beliau berkata selain China dan Taiwan, kira-kira 13 peratus daripada aktiviti pemasangan dan pengujian semikonduktor global dijalankan di Malaysia.
-- BERNAMA