Niaga Hadapan MSM Mengukuh Selepas Harga Minyak Mentah Melonjak
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) – Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup kukuh hari ini selepas ia menjejaki lonjakan harga dalam pasaran minyak mentah.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata harga minyak mentah naik apabila serangan tentera Amerika Syarikat (AS)-Iran yang baharu telah mengganggu aliran minyak di Selat Hormuz.
Minyak mentah Brent menyaksikan kenaikan sebanyak 3.8 peratus kepada US$78.90 setong.
“Harga minyak mentah yang lebih tinggi turut memacu harga minyak sawit berikutan prospek permintaan yang lebih mantap untuk kegunaannya sebagai bahan mentah biobahan api. Sentimen ini turut disokong oleh keuntungan dalam harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT),” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Ng menambah peningkatan pengeluaran minyak sawit baru-baru ini telah menghadkan kenaikan harga.
“Kami melihat sokongan pada paras RM4,500 dan rintangan pada RM4,650,” katanya.
Pada penutupan, kontrak bulan semerta Julai dan Ogos 2026 menokok RM17 setiap satu kepada RM4,472 serta RM4,493 satu tan, manakala September 2026 lonjak RM20 kepada RM4,533 satu tan.
Kontrak Oktober dan November 2026 masing-masing menambah RM19 kepada RM4,566 serta RM4,601 satu tan, manakala Disember 2026 adalah RM21 lebih baik kepada RM4,633 satu tan.
Jumlah dagangan susut kepada 54,241 lot berbanding 113,131 lot yang disaksikan semasa Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 283,758 kontrak daripada 286,062 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan turun RM10 kepada RM4,480 satu tan.
-- BERNAMA