BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 | Dewan Rakyat lulus RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 | Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengusir mana-mana rakyat Israel yang dikesan memasuki negara ini - PM Anwar | 

Pertumbuhan KDNK Suku Kedua Malaysia Dijangka Menyederhana - Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pertumbuhan produk dalam negara kasar (KDNK) suku kedua Malaysia dijangka menyederhana kepada 4.8 hingga 5.0 peratus daripada 5.4 peratus pada suku pertama 2026, kata seorang ahli ekonomi.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ketua Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata ekonomi domestik Malaysia kekal berdaya tahan, walaupun berlaku ketegangan geopolitik yang memuncak di Asia Barat dan ketidaktentuan dalam harga tenaga global.

“Kami percaya permintaan domestik lebih kukuh, perdagangan luar berdaya tahan dan persekitaran dasar yang menyokong, lebih daripada mencukupi untuk mengimbangi cabaran luaran, membolehkan aktiviti ekonomi kekal berada pada landasan pengembangan yang mantap, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner

Sementara itu, Mohd Sedek berkata walaupun aktiviti pembuatan merosot pada beberapa bahagian dalam suku tersebut, keadaan perniagaan bertambah baik secara berprogresif, dengan indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan pulih daripada 49.9 pada Mei kepada 50.5 pada Jun, memberi petunjuk bahawa ia kembali kepada pengembangan.

Beliau berkata ia menunjukkan bahawa pengilang telah berjaya mengharungi gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan luaran dan terus mendapat manfaat daripada kitaran peningkatan teknologi dipacu kecerdasan buatan (AI) global serta permintaan berterusan untuk eksport elektrik dan elektronik.

Permintaan domestik juga kekal sebagai enjin utama pertumbuhan, dengan perdagangan borong dan runcit mencatatkan RM174 bilion pada April dan RM171 bilion pada Mei, antara bacaan paling kukuh sejak tempoh pemantauan bermula pada 2024.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ini mencerminkan penggunaan isi rumah yang berdaya tahan walaupun kos sara hidup meningkat, katanya.

“Asas makroekonomi kekal menyokong sepanjang suku tersebut, dengan inflasi kekal terkawal walaupun harga minyak mentah global lebih tinggi, sebahagian besarnya disebabkan oleh keputusan kerajaan untuk mengekalkan subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter, sekali gus mengehadkan kesan limpahan kepada harga pengangkutan dan pengguna.

“Pada masa sama, Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia yang stabil dan boleh dijangka terus menyokong pertumbuhan kredit, pelaburan perniagaan dan perbelanjaan isi rumah tanpa mencetuskan tekanan inflasi berlebihan, katanya.

Mohd Sedek berkata ekonomi Malaysia nampaknya semakin disokong oleh permintaan dalaman yang lebih kukuh dan kestabilan dasar.

 

Beliau berkata gabungan penggunaan berdaya tahan, sentimen pelaburan yang bertambah baik, eksport kukuh dan inflasi yang terkawal menunjukkan bahawa pertumbuhan kekal berasaskan luas dan bukannya tertumpu pada satu sektor sahaja.

“Oleh itu, kami menjangka ekonomi Malaysia akan mengekalkan momentum yang sihat pada suku kedua 2026, sekali gus memperkukuh keyakinan kami bahawa negara kekal berada di landasan betul untuk mencapai unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2026 kami sebanyak 4.6 peratus.

“Bagaimanapun, perkembangan geopolitik dan keadaan perdagangan global akan terus memerlukan pemantauan rapi, katanya.

Anggaran awal KDNK suku kedua 2026 Malaysia dijadualkan akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Jumaat ini (17 Julai).

-- BERNAMA