IILM Raih Tiga Anugerah Prestij Kewangan Islam
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- International Islamic Liquidity Management Corporation (IILM) meraih tiga anugerah berprestij pada The Asset Triple A Islamic Finance Awards 2026.
IILM dinobatkan sebagai Penerbit Terbaik Tahun Ini dan Penyedia Penyelesaian Kecairan Global Terbaik Tahun Ini, manakala Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Safri Sharul Hamid, dinobatkan sebagai Jurubank Islam Terbaik Tahun Ini.
Dalam kenyataan hari ini, IILM memaklumkan pengiktirafan itu mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dalam memajukan pengurusan kecairan Islam global, selain mencerminkan kekuatan berterusan program sukuknya.
Menurut IILM, anugerah berkenaan mengiktiraf pencapaian cemerlangnya pada 2025, ketika organisasi itu mencatat prestasi terbaik sejak penubuhannya.
“Sepanjang tahun itu, IILM menerbitkan sukuk jangka pendek berjumlah kumulatif US$22.9 bilion menerusi 21 lelongan merangkumi 69 siri, sekali gus mencatat jumlah terbitan tahunan tertinggi dalam sejarahnya.
“IILM turut meningkatkan saiz program sukuknya daripada US$6.0 bilion kepada US$8.5 bilion, manakala portfolio sukuk belum tebus mencecah paras rekod ketika itu sebanyak US$6.4 bilion,” menurut kenyataan itu.
Mengulas pengiktirafan itu, Mohamad Safri berkata pihaknya amat berbesar hati menerima anugerah berprestij berkenaan.
“Anugerah ini mencerminkan komitmen dan dedikasi bersama ahli lembaga pengarah, pemegang saham, bank pusat anggota, institusi pelbagai hala, pengedar utama, pelabur serta seluruh pasukan IILM dalam memajukan ekosistem pengurusan kecairan Islam yang berdaya tahan, cekap dan bersepadu di peringkat global,” katanya.
IILM memaklumkan The Asset Triple A Islamic Finance Awards merupakan antara pengiktirafan paling dihormati dalam industri, yang mengiktiraf institusi dan individu yang menunjukkan kecemerlangan, inovasi serta kepimpinan dalam memajukan industri kewangan Islam global.
IILM ialah organisasi antarabangsa yang ditubuhkan oleh bank pusat, pihak berkuasa monetari dan organisasi pelbagai hala bagi membangunkan serta menerbitkan instrumen kewangan jangka pendek patuh Syariah untuk memudahkan pengurusan kecairan rentas sempadan yang berkesan oleh institusi yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam.
IILM berpusat di Malaysia dan beribu pejabat di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA