Pasaran Hartanah Malaysia Kekal Disokong Infrastruktur, Aset Khusus
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pasaran hartanah Malaysia dijangka kekal disokong oleh aktiviti pelaburan, pembangunan infrastruktur dan permintaan terhadap aset khusus pada separuh kedua 2026.
Bagaimanapun, para pelabur kini menjadi lebih selektif di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik global dan keadaan pasaran yang sentiasa berubah.
Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia (KFM) Keith Ooi berkata permintaan daripada pengguna ruang atau penghuni semakin beralih ke arah aset khusus yang memenuhi keperluan perniagaan yang sentiasa berkembang.
“Ini termasuk rantaian sejuk (cold chain), pusat data dan kemudahan penginapan pekerja dalam sektor perindustrian, pejabat gred A, pembangunan berorientasikan transit/bersepadu dan ruang kerja fleksibel dalam sektor pejabat serta gaya hidup bersepadu selain pengalaman peruncitan dalam sektor runcit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran laporan Sorotan Pasaran Hartanah (REH) KFM Separuh Pertama 2026 di sini hari ini.
Laporan berkenaan merupakan tinjauan dwitahunan mengenai prestasi hartanah perindustrian, hospitaliti, pejabat dan peruncitan di seluruh Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Laporan tersebut menyatakan asas ekonomi yang berdaya tahan termasuk pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, kadar inflasi dan faedah yang stabil, perbelanjaan isi rumah yang mampan, pemulihan sektor pelancongan serta pelaburan infrastruktur, terus menyokong permintaan merangkumi sektor pejabat, peruncitan, hospitaliti dan kediaman.
Laporan itu turut memaklumkan bahawa pelaburan dalam teknologi, infrastruktur digital dan pembuatan terus memperkukuh permintaan bagi sektor perindustrian dan pusat data.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingan KFM Amy Wong memberitahu modal kini semakin banyak disalurkan ke dalam pembangunan yang disokong oleh infrastruktur, mencerminkan tumpuan pelabur terhadap pertumbuhan jangka panjang.
Beliau berkata tanah pusat data merangkumi kategori terbesar dalam urus niaga hartanah yang diumumkan di Bursa Malaysia pada separuh pertama 2026 diikuti tanah untuk pembangunan dan perindustrian.
Ini memberi isyarat bahawa para pelabur sedang mempersiapkan kedudukan mereka bagi merebut peluang pembangunan masa hadapan berbanding aset yang menjana pendapatan segera.
Daripada 10 urus niaga terbesar sepanjang tempoh tersebut, tujuh daripadanya merupakan pengambilalihan tanah yang merangkumi 76 peratus daripada nilai gabungan urus niaga manakala lima urus niaga melibatkan tapak pusat data di seluruh Selangor dan Johor.
“Ia bukan lagi sekadar mengenai pengumuman. Kapasiti teknologi maklumat (IT) operasi adalah sebanyak 1.2 gigawatt (GW) pada penghujung 2025 manakala sebanyak 2.9 GW lagi dijangka mula beroperasi antara 2026 dan 2028,” katanya.
Wong berkata urus niaga tanah pusat data bernilai kira-kira RM2.45 bilion yang melibatkan kawasan seluas 229.861 hektar direkodkan pada separuh pertama 2026 manakala kontrak pembinaan berkaitan pusat data bernilai RM8.8 bilion diumumkan dalam tempoh yang sama.
Berbeza dengan tahun lepas, beliau berkata pemberian kontrak kini diagihkan kepada pakej-pakej yang lebih kecil melibatkan pencawang, pendawaian, sistem penyejukan serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.
Ini menunjukkan peluang sedang berkembang melangkaui pemilik tanah dan pengendali kepada pihak kontraktor serta penyedia perkhidmatan infrastruktur.
"Daripada hanya memberi tumpuan kepada pemilik tanah dan pengendali, kini tumpuan beralih kepada kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pembinaan pencawang elektrik, pemasangan kabel, penyediaan peralatan mekanikal dan elektrikal, sistem penyejukan, kerja-kerja sivil serta semua infrastruktur teknikal lain yang diperlukan," katanya.
Wong berkata, pada masa hadapan, keputusan pelaburan akan semakin bergantung kepada tahap kesediaan infrastruktur khususnya akses yang boleh dipercayai kepada bekalan elektrik, air dan rangkaian sambungan berbanding hanya bergantung kepada ketersediaan tanah.
Beliau berkata koridor infrastruktur seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), ekosistem semikonduktor Pulau Pinang dan projek pengangkutan di Lembah Klang dijangka terus menarik pelaburan ke dalam pembangunan perindustrian, logistik dan pembangunan bercampur.
Beliau menambah aliran struktur seperti penerimaan kecerdasan buatan (AI), kepelbagaian rantaian bekalan serta keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kini sedang membentuk semula keutamaan pelaburan dengan pemaju memberikan penekanan yang lebih besar kepada aset operasi selain pembangunan yang disokong oleh infrastruktur.
-- BERNAMA