BERITA TERKINI   Kerajaan akan memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI RM200 juta, bantu penjaja, peniaga pasar malam dan ibu yang meniaga dari rumah - PM Anwar | Kemudahan pembiayaan mikro akan ditambah RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat kepada RM6 bilion - PM Anwar | Kerajaan bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun - PM Anwar | MCMC akan sediakan RM1 bilion perkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam - PM Anwar | Program AI Untuk Rakyat untuk 100,000 belia berumur 18 hingga 30 tahun, terima langganan aplikasi AI secara percuma selama tiga bulan - PM Anwar | 

Malaysia Seiring Dengan Aliran Asia Pasifik Dalam Peningkatan Pelaburan AI

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Malaysia seiring dengan aliran yang lebih meluas di rantau Asia Pasifik apabila organisasi mempercepatkan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) meskipun berdepan cabaran untuk mencapai pulangan yang boleh diukur, menurut International Data Corporation (IDC).

Dalam Tinjauan Keutamaan Pemimpin Teknologi, firma itu menyatakan dapatan kajian menunjukkan organisasi di Malaysia sedang mempercepatkan pelaburan AI walaupun kebanyakannya masih bergelut dengan cabaran berkaitan pulangan pelaburan (ROI), ketelusan kos, kesediaan rangkaian dan keselamatan.

“Di Malaysia, sebanyak 57.5 peratus organisasi menyatakan pihak pengurusan melabur dalam AI berdasarkan potensinya, kadang kala tanpa analisis ROI yang teliti manakala 35 peratus lagi mengakui mereka melabur secara agresif dengan penilaian yang sangat minimum.

Ad Banner

“Sebanyak 40 peratus organisasi di Malaysia menyatakan pelaksanaan AI memenuhi atau jauh melebihi jangkaan,” menurut firma penasihat dan risikan pasaran global terkemuka berkenaan. 

IDC memaklumkan, tinjauan itu turut mendapati dalam kalangan organisasi di Malaysia yang pelaksanaan AI mereka gagal memenuhi jangkaan, 80 peratus menyatakan kos yang ditanggung adalah lebih tinggi daripada yang dijangkakan atau gagal mencapai ROI seperti yang diharapkan.

Menurut firma itu, 50 peratus organisasi mengaitkan kegagalan tersebut kepada prestasi AI tidak seperti yang diharapkan manakala 40 peratus lagi menyatakan ia berpunca daripada prestasi rangkaian atau kesalinghubungan yang tidak memadai.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Tinjauan itu seterusnya mendedahkan 54 peratus organisasi di Malaysia bimbang akan kehilangan kawalan terhadap pemantauan kos berkaitan AI dan ROI apabila penggunaannya semakin meluas.

Mengenai risiko masa hadapan, IDC menyatakan 52 peratus organisasi menyenaraikan risiko keselamatan baharu yang muncul sebagai kebimbangan utama.

Dalam pada itu jumlah peratusan yang sama turut menyatakan kebimbangan terhadap implikasi buruk kepada reputasi, kewangan atau undang-undang akibat daripada tingkah laku AI yang luar biasa.

Sementara itu, IDC memaklumkan bahawa tinjauan tersebut turut menunjukkan jurang pemisahan yang semakin ketara di antara momentum pelaburan AI dengan hasil perniagaan sebenar di seluruh rantau Asia Pasifik.

“Dapatan kajian menunjukkan 37 peratus organisasi di Asia Pasifik melabur secara agresif dalam AI dengan penilaian yang sangat minimum manakala 61 peratus lagi merancang untuk mengutamakan pelaburan AI atau pembelajaran mesin dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Namun, hanya 40 peratus organisasi di Asia Pasifik menyatakan pelaksanaan AI mereka telah memenuhi atau jauh melebihi jangkaan sekali gus membayangkan bahawa aspirasi terhadap AI tidak semestinya diterjemahkan kepada pulangan yang boleh diukur,” tambah firma itu.

-- BERNAMA