BERITA TERKINI   Kerajaan akan memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI RM200 juta, bantu penjaja, peniaga pasar malam dan ibu yang meniaga dari rumah - PM Anwar | Kemudahan pembiayaan mikro akan ditambah RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat kepada RM6 bilion - PM Anwar | Kerajaan bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun - PM Anwar | MCMC akan sediakan RM1 bilion perkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam - PM Anwar | Program AI Untuk Rakyat untuk 100,000 belia berumur 18 hingga 30 tahun, terima langganan aplikasi AI secara percuma selama tiga bulan - PM Anwar | 

KPK, MPOB Sedia Bantu Pekebun Kecil Hadapi Kesan El Nino -- Noraini

BATU PAHAT, 30 Ogos (Bernama) – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi agensi berkaitan, termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bersedia membantu pekebun kecil menghadapi kesan fenomena El Nino yang dijangka membawa cuaca panas berterusan selama beberapa bulan.

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata KPK juga akan terus berhubung rapat dengan pekebun kecil selain memberikan nasihat dan panduan bagi mengurangkan impak fenomena itu terhadap aktiviti serta hasil pertanian.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pekebun kecil untuk sentiasa peka dan memaklumkan kepada agensi berkaitan apabila berdepan sebarang masalah berikutan cuaca panas berpanjangan yang berkemungkinan menjejaskan hasil dan pengeluaran komoditi, termasuk kelapa sawit.

Ad Banner

“Kita di KPK mempunyai agensi tertentu seperti MPOB yang akan membantu, memberikan nasihat dan panduan serta sentiasa berhubung dengan pekebun supaya mereka tidak terlalu terkesan akibat El Nino,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Karnival dan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI di Dewan Serbaguna Kampung Parit Warijo, di sini, hari ini.

Selain itu, mengulas pembelian minyak masak terpakai (UCO), Noraini berkata sebanyak 220 pemegang lesen Kategori Peniaga Minyak terlibat dalam urus niaga berkenaan setakat Julai 2026.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi Program Kampung Angkat MADANI pula, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata sebanyak RM590,000 diperuntukkan bagi melaksanakan pembangunan serta projek fizikal di kawasan berkenaan.

Projek itu termasuk menaik taraf surau di Kampung Parit Basri Laut, penambahbaikan balai raya serta membaik pulih beberapa rumah dengan kerjasama GIATMARA Parit Sulong.

“Menerusi Kampung Angkat MADANI ini, kita turut mengadakan kursus kecerdasan buatan (AI) serta projek tanaman cili fertigasi sebagai usaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan penduduk,” kata beliau.

-- BERNAMA