BERITA TERKINI   Jerebu: Ibu bapa dibenar tidak hantar anak ke sekolah, perlu maklumkan ketidakhadiran - JPWPKL | Semua institusi pendidikan bawah KPM di Kuala Lumpur beroperasi secara bersemuka esok, aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan - JPWPKL | Pelabur China berminat bawa pelaburan aluminium berskala besar ke Samalaju, Sarawak - TPM Ahmad Zahid | Pertikaian takhta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah diselesaikan melalui saluran sah, berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 - Raja-Raja Melayu | Malaysia pertimbang teknologi 'modern policing' digunakan China perkukuh pencegahan jenayah kawasan berisiko tinggi di Malaysia - TPM Ahmad Zahid | 

Syor Salur Modal Menerusi PTFC, Perkukuh Disiplin Fiskal Antara Isu Bahas Belanjawan 2027

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini menyaksikan beberapa saranan diketengahkan, termasuk berkaitan peruntukan dana teknologi dan semikonduktor selain usaha memperkukuh disiplin fiskal negara.

Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) menyarankan agar sebahagian daripada peruntukan dana teknologi dan semikonduktor sedia ada disalurkan kepada syarikat teknologi Malaysia melalui Pusat Kewangan Teknologi Pulau Pinang (PTFC) yang turut menyokong pembangunan negeri itu sebagai pusat kewangan teknologi negara.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata ini boleh dilaksanakan dengan mengenal pasti serta menggembleng modal awam daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang relevan serta program pembiayaan Persekutuan seperti Jelawang Capital, dana perintis di bawah Pelan Tindakan KL20 dan Dana Pelaburan Bersama Strategik Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Ad Banner

​“Objektif ini bukan untuk mewujudkan kumpulan pembiayaan baharu, sebaliknya untuk memanfaatkan modal sedia ada bagi menarik penyedia pembiayaan teknologi khusus dan pelaburan swasta,” katanya.

​Cadangan yang bertujuan merealisasikan PTFC sebagai pusat kewangan berteraskan teknologi Malaysia, dengan tumpuan kepada pembiayaan rantaian bekalan semikonduktor, penciptaan pengetahuan dan kewangan Islam, katanya.

Chow juga menyarankan penubuhan kumpulan kerja bersama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk memacu pelaksanaan inisiatif itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kumpulan kerja itu melibatkan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bursa Malaysia, GLIC, Penyelidikan Kolaboratif dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) serta agensi dan pihak berkepentingan pelaburan lain,” katanya.

​Sementara itu, Datuk Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) meminta kerajaan memperkukuh disiplin fiskal dengan menilai perbelanjaan pembangunan berdasarkan keberhasilan serta memberi perhatian kepada pengurangan defisit dalam nilai mutlak apabila keadaan ekonomi mengizinkan.

“Usaha konsolidasi fiskal secara berperingkat wajar disokong, namun penilaian kedudukan kewangan negara perlu mengambil kira struktur perbelanjaan selain nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), memandangkan pertumbuhan ekonomi boleh menurunkan nisbah itu tanpa pengurangan setara dalam nilai ringgit.

​“Bagi setiap projek pembangunan utama, kita perlu menilai masalah yang ingin diselesaikan, manfaat ekonomi dan sosial yang dijangkakan, kos keseluruhan sepanjang hayat projek, risiko pelaksanaan dan bagaimana kejayaan akan diukur selepas projek siap,” katanya.

​Bekas Menteri Besar Johor itu berkata pengurusan fiskal berhemah membolehkan kerajaan terus melindungi rakyat dengan kedudukan fiskal yang kukuh memberi lebih banyak ruang bertindak apabila berlaku kemelesetan ekonomi, bencana atau kejutan harga.

​Menyentuh sumbangan Petronas, Hasni berkata sumbangan bagi 2026 yang pada asalnya dianggarkan RM20 bilion telah disemak kepada RM27 bilion manakala bagi 2027 diunjurkan meningkat kepada RM32 bilion, namun syarikat itu turut memerlukan sumber kewangan untuk meneruskan pelaburan, mengekalkan daya saing dan membangunkan keupayaan masa hadapan.

​Sehubungan itu beliau mencadangkan agar kerajaan memperkukuh kerangka dividen dengan mengambil kira keperluan fiskal negara serta kemampuan Petronas untuk melabur semula secara mampan selain memperluas asas hasil bukan petroleum melalui pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi, peningkatan pematuhan cukai dan pengurangan ketirisan.

​-- BERNAMA