BERITA TERKINI   Jerebu: Ibu bapa dibenar tidak hantar anak ke sekolah, perlu maklumkan ketidakhadiran - JPWPKL | Semua institusi pendidikan bawah KPM di Kuala Lumpur beroperasi secara bersemuka esok, aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan - JPWPKL | Pelabur China berminat bawa pelaburan aluminium berskala besar ke Samalaju, Sarawak - TPM Ahmad Zahid | Pertikaian takhta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah diselesaikan melalui saluran sah, berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 - Raja-Raja Melayu | Malaysia pertimbang teknologi 'modern policing' digunakan China perkukuh pencegahan jenayah kawasan berisiko tinggi di Malaysia - TPM Ahmad Zahid | 

Usahawan Muda Selangor Digesa Kembangkan Perniagaan Ke Pasaran ASEAN - Tengku Amir Shah

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Usahawan muda di Selangor perlu melihat melangkaui pasaran domestik dan menjadikan bandar-bandar ASEAN seperti Jakarta, Bangkok, Manila dan Ho Chi Minh City sebagai destinasi semula jadi untuk mengembangkan perniagaan.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, walaupun ASEAN merupakan satu rantau, perniagaan beroperasi seolah-olah seperti dalam pasaran yang berasingan, sekali gus mengehadkan peluang untuk berkembang di peringkat serantau.

“Dalam keadaan rantaian bekalan sedang berubah dan ekonomi-ekonomi yang lebih besar bersaing secara terbuka untuk menarik pelaburan, teknologi dan bakat, perpecahan menghasilkan kos yang perlu ditanggung.

Ad Banner

“Kerjasama serantau bukanlah sekadar tanda muhibah antara negara jiran, sebaliknya merupakan satu keperluan ekonomi,” titah baginda dalam ucaptama pada Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) 2026 di sini hari ini.

Tengku Amir Shah turut mencemar duli merasmikan majlis pembukaan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026, yang dianjurkan oleh Invest Selangor Bhd dan dihoskan oleh kerajaan negeri Selangor.

Ujian sebenar integrasi ASEAN bukanlah berapa kerap rantau ini berbincang tentang pasaran tunggal, tetapi sama ada usahawan di sesebuah negara anggota benar-benar mampu membangunkan perniagaan yang beroperasi di 10 pasaran anggota yang lain.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Teknologi akan menjadi teras kepada masa depan itu, tetapi teknologi tanpa tenaga kerja yang mampu menggunakannya dengan baik tidak akan menghasilkan apa-apa. Di sinilah pendidikan memainkan peranan penting — bukan sekadar untuk mendapatkan kelayakan, tetapi sebagai persediaan untuk membina, menjual, memimpin dan bersaing,” titah baginda.

Baginda bertitah populasi golongan muda ASEAN sering dianggap sebagai antara kelebihan terbesar di rantau ini, tetapi nilai ekonominya bergantung kepada peluang yang tersedia untuk golongan itu.

“Berikan mereka peralatan, latihan dan akses pasaran, maka potensi demografi itu akan bertukar menjadi kapasiti produktif. Hubungkan kapasiti itu merentasi sempadan, maka ia akan menjadi kelebihan serantau,” titah baginda.

SABC 2026 merupakan penganjuran edisi ke-10 dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor. Bertemakan ‘Selangor: The Gateway to ASEAN’s Youth and Future’, SABC 2026 memberi penekanan khusus terhadap generasi masa depan di rantau ini sebagai pemboleh ubah ekonomi teras dan bukannya sekadar agenda sosial.

ASEAN mempunyai lebih 213 juta penduduk berusia 15 hingga 34 tahun, iaitu kira-kira satu pertiga daripada jumlah penduduknya. Golongan ini akan menentukan perubahan pasaran buruh, penubuhan perusahaan dan penerapan teknologi digital di seluruh Asia Tenggara dalam tempoh sedekad akan datang.

Memanfaatkan kelebihan demografi ini memerlukan penyelarasan yang lebih kukuh antara dasar, modal dan pembangunan bakat di peringkat nasional dan subnasional.

“Memanfangkan SABC melangkah ke dekad kedua, matlamat kita bukan sekadar menjadikan Selangor sebagai gerbang ke ASEAN. Sebaliknya, kita perlu memastikan bahawa melalui Selangor, generasi baharu bersedia untuk menerajui ASEAN,” titah Tengku Amir Shah.

-- BERNAMA