BERITA TERKINI   Jerebu: Ibu bapa dibenar tidak hantar anak ke sekolah, perlu maklumkan ketidakhadiran - JPWPKL | Semua institusi pendidikan bawah KPM di Kuala Lumpur beroperasi secara bersemuka esok, aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan - JPWPKL | Pelabur China berminat bawa pelaburan aluminium berskala besar ke Samalaju, Sarawak - TPM Ahmad Zahid | Pertikaian takhta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah diselesaikan melalui saluran sah, berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 - Raja-Raja Melayu | Malaysia pertimbang teknologi 'modern policing' digunakan China perkukuh pencegahan jenayah kawasan berisiko tinggi di Malaysia - TPM Ahmad Zahid | 

STS 2026 Sasar Peningkatan Pelaburan 30 Peratus

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Selangor Techsphere Summit 2026 (STS 2026) menyasarkan peningkatan pelaburan tahunan sebanyak 30 peratus berbanding 2025, selaras dengan usaha memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab teknologi dan bakat utama di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) Dr. Harizal Hamid berkata edisi kedua sidang kemuncak itu menghimpunkan lebih 33 syarikat terkemuka dunia bagi menghubungkan ekosistem teknologi dengan pembangunan modal insan, khususnya dalam industri berimpak tinggi.

Beliau berkata tumpuan diberikan kepada bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, ekonomi hijau dan pembangunan tenaga kerja bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.

Ad Banner

“Program ini dibangunkan sebagai platform strategik untuk menghubungkan keseluruhan ekosistem teknologi dengan pembangunan modal insan,” katanya kepada pemberita sempena STS 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Sidang kemuncak selama empat hari itu bermula hari ini dan dianjurkan oleh kerajaan negeri menerusi STDC sebagai sebahagian daripada Selangor International Business Summit 2026 (SIBS 2026). Acara itu dirasmikan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Harizal berkata sejak segmen pendidikan industri diperkenalkan pada 2021, STDC telah melatih 2,500 anak Selangor menerusi tajaan kerajaan negeri, dengan kadar kebolehpasaran graduan melebihi 80 peratus.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Pengarah Urusan Hannover Messe bagi Asia Pasifik di Deutsche Messe Tim Bostridge berkata STS 2026 menyediakan platform kepada pemain industri dan teknologi antarabangsa untuk menjalinkan kerjasama, bertukar pengetahuan serta meneroka penggunaan teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan perniagaan.

Beliau berkata pameran itu turut memberi peluang kepada syarikat memahami potensi teknologi baharu dalam menyokong pertumbuhan perniagaan pada masa hadapan.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Raymond Tan pula berkata penyertaan syarikat itu memberi tumpuan kepada pemindahan kepakaran teknikal dan pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan menerusi latihan serta perkongsian pengetahuan industri.

Beliau berkata usaha itu bertujuan melahirkan generasi baharu juruteknik tempatan yang memiliki kemahiran relevan dengan keperluan industri, sekali gus meningkatkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan latihan.

STS 2026 menghimpunkan lebih 1,000 delegasi dan pengunjung dari 25 negara, termasuk tokoh industri serta syarikat global seperti BMW Group, Google, Festo, Siemens dan KNX Association yang mempamerkan teknologi terkini dalam bidang automasi, AI dan teknologi hijau.

-- BERNAMA